Categories
SELANGOR

Pasar tani SS2 ketengah konsep mesra hijau, lebih moden

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 18 MEI: Pembaikan fasiliti Medan Selera dan Pasar Tani Berbumbung SS2 di sini dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, kemudahan mesra ‘bandar hijau’ itu dilaksanakan sebagai inisiatif karbon rendah.

“Pembangunan semula medan selera dan pasar tani ini mengaplikasikan rekaan struktur bangunan yang lebih moden menerusi penggunaan teknologi hijau dengan konsep pasar terbuka di atas tapak sedia ada.

“Keutamaan pembaikan premis ini dijalankan bagi memberi keselesaan kepada masyarakat Petaling Jaya untuk berbelanja dengan fasiliti yang lebih luas dan selesa kepada pengguna,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Damansara Utama, di sini.

Katanya, antara pembaikan dijalankan termasuklah rekaan bumbung dan gantian atap pasar baru yang lebih efisyen dan tahan lama.

Projek berkenaan menelan belanja RM1.5 juta dan bakal memulakan operasi sepenuhnya menjelang tahun depan.

“Sekarang kita di peringkat pemilihan kontraktor dan kami sangat teliti untuk melantik kontraktor melalui proses dan piawaian ditetapkan pihak majlis dan Kerajaan Negeri.

“Perancangan awalnya, projek akan bermula Ogos ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal tahun depan,” kata Bee Yin.

Difahamkan, sepanjang tempoh pembaikan, peniaga sedia ada di premis berkenaan akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa.

Bee Yin berkata, kerja pembaikan dijalankan selepas tamat waktu operasi perniagaan sekitar jam satu petang.

Sebelumnya, Bee Yin bersama ahli majlis dan penduduk setempat turun padang meninjau tapak pembangunan baru kedua-dua premis berkenaan.