OLEH HAFIZAN TAIB
SINGAPURA, 6 MEI: Pemain PKNS FC bersedia mempamerkan aksi terbaik bagi mengatasi cabaran Pilihan Singapura dalam perlawanan merebut kejuaaraan Piala Sultan Selangor di Stadium Nasional, di sini, malam ini.
Ketua pasukan, Safee Sali, berkata peluang diperoleh The Red Ants dalam penyertaan ke perlawanan itu sebagai Pilihan Selangor, akan digunakan sebaik mungkin semua pemain bagi memenuhi misi menjuarai piala berprestij itu.
“Memang agak sukar bila kami beraksi di gelanggang lawan tetapi kami akan cuba yang terbaik dan apabila bermain dalam pertandingan seperti ini semua pemain bersedia selain merasai suasana gemilang pertandingan.
“Bagi pemain PKNS FC, ini satu penghargaan apabila diamanahkan bermain dalam Piala Sultan Selangor dan kami akan berusaha untuk merampas kembali piala ini.
“Kami akan cuba memenanginya untuk DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya kepada SelangorKini di sini.
Pemain kebangsaan itu berkata, walapun diakui sukar berdepan pasukan The Lions di Stadium Nasional namun beliau berharap rekod baiknya ketika menentang mereka akan berterusan dalam pertemuan itu serta membantu rakan sepasukan memburu jaringan gol.
Beliau berkata, ia juga pengalaman dan peluang sekali lagi bagi dirinya bersama PKNS FC untuk bermain dalam Piala Sultan Selangor kerana sebelum ini pernah mewakili The Red Giants.
“Ia (prestasi PKNS FC dalam Liga Super) tidak mempengaruhi kerana ia satu pertandingan berbeza tetapi kami inginkan kemenangan dalam pertandingan ini sendiri kerana jika menang ia satu sokongan moral untuk menghadapi Liga Super khususnya berdepaan Kedah selepas ini,” katanya.
Dalam sebelas perlawanan Liga Super setakat ini, PKNS FC mencatat dua kemenangan, empat seri dan lima kalah untuk menduduki tangga ke sembilan dengan 10 mata.
Ketua pasukan Pilihana Singapura, Haris Harun berkata, dengan sejarah penuh warna-warni kedua-dua pasukan dalam pertandingan itu dan ia pasti pertemuan menarik.
“Semua pemain bersemangat tinggi dan saya kira perlawanan 90 minit akan menyajikan saingan baik untuk kedua pasukan.
“Kita berharap untuk mencipta kejayaan tambahan Piala Sultan Selangor kembali ke Singapura selepas sekian lama di mana sebagai pasukana tuan rumah, kita mahu menghadiahkan kejuaraan kepada peminat tempatan,” katanya.
=EZY=