Categories
SUKANKINI

Tekad bawa pulang Piala Sultan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 6 MEI: PKNS FC bakal turun habis-habisan bagi mengatasi Pilihan Singapura untuk merealisasikan impian membawa pulang Piala Sultan Selangor ke bumi Selangor.

Biarpun menyedari tugas berat bakal dipikul namun jurulatih, E Elavarasan, menganggap pertemuan menentang skuad The Lions di Stadium Nasional, di sini, adalah peluang terbaik pasukan bimbingannnya bagi membalas kepercayaan semua pihak berkaitan khususnya DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“PKNS FC berbangga terpilih mewakili Selangor.

“Kita tahu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan dan kita akan berusaha untuk membawa balik Piala Sultan Selangor ke Selangor. Itu sasaran kita,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Turun selaku Pilihan Selangor, Elavarasan menyandarkan harapan kepada pemain skuad Liga Supernya untuk mencatat kemenangan ke atas pasukan kendalian Fandi Ahmad itu yang diakui lebih mantap.

Bagaimanapun, katanya, The Red Ants tidak mudah mengaku kalah untuk mencapai misi ditetapkan.

“Kita akan menggunakan pemain sama (Liga Super) untuk menandingi Pilihan Singapura.

“Ia misi yang kita rasa bukan mustahil (untuk direalisasikan),” katanya.

Penolong jurulatih Pilihan Singapura, Nazri Nasir, dalam sidang media berkata, pasukannya hanya fokus untuk mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Skuad ini adalah gabungan pemain muda dan senior selain kehadiran ketua pasukan, Haris Harun akan banyak membantu Pilihan Singapura dalam mencapai matlamat (menjuarainya).

“Kita harap ia akan menjadi persembahan menarik yang menghiburkan peminat dengan ramai hadir bagi memberi sokongan,” katanya.

Selain pertemuan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, dua perlawanan lain pada esok ialah antara Veteran Selangor dan Veteran Singapura serta pasukan Sekolah Sukan Singapura Bawah 16 tahun menentang Gabungan Sekolah-Sekolah Selangor.

=EZY=