Categories
KENYATAAN MEDIA

Penduduk PPR dalam bahaya punca perancangan lemah

OLEH DR HATTA RAMLI

Masalah besar yang dihadapi penduduk PPR di Kuala Lumpur pada hari ini berpunca kepada perancangan yang lemah dan berani saya katakan ‘for the sake of doing’.

Walaupun ini merupakan projek ditumpukan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah, ini tidak bermakna bahawa kita perlu sewenang-wenangnya dalam merancang kediaman yang bakal didiami berpuluh-puluh tahun lamanya.

Masalah besar yang dihadapi kebanyakan PPR di Kuala Lumpur khususnya Tititwangsa adalah masalah ruang letak kereta yang sangat terbatas, ini menyebabkan masalah ‘double parking’ malah sehingga ‘triple parking’.

Saya membayangkan sekiranya berlaku kecemasan, pastinya kenderaan seperti trak Bomba dan Ambulans akan menghadapi masalah untuk membantu, akhirnya penduduk PPR tersebut juga yang merana.

Saya mengetahui bahawa projek pembinaan parking berbumbung telah dijalankan bagi sesetengah kawasam PPR, tetapi alangkah baiknya sekiranya ia dijalankan bersama pembinaan PPR tersebut dengan tujuan mengurangkan kos dan mengurangkan risiko yang dihadapi hari ini.

????????????????????????????????????

Selain itu juga, ada PPR yang tidak diselenggara dengan baik seperti PPR Pantai Permai yang menghadapi masalah keselamatan yang tinggi yang mana pili bomba dan pemadam api berada dalam keadaan yang tidak berfungsi dengan baik, keadaan ini pastinya akan merisikokan penduduk PPR dalam keadaan yang sangat berbahaya.

Kalau kebakaran berlaku dan masalah jalan sempit dan alat kecemasan tidak berfungsi, saya tidak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi.

Menjadi misi besar saya untuk melihat sebarang pembangunan yang dibina untuk rakyat dalam semua kelas ekonomi dibangunkan dengan mengambil berat keselamatan, keselesaan dan kelestarian penduduk.

Jika kita masih berterusan dengan sikap yang tidak sensetif kepada rakyat ini bakal menjerumuskan generasi akan datang turut mewarisi masalah yang sama.

*Dr Hatta Ramli adalah Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan