Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengamal media cuba ditakut-takutkan

OLEH MOHD SANY HAMZAN

Pemuda AMANAH Nasional memandang serius tindakan polis yang mengarahkan wartawan Malaysia Dateline, Mohd Arif Atan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi semalam berhubung liputan berita yang dibuat oleh wartawan tersebut.

Kami menyifatkan tindakan tersebut hanyalah usaha menakut-nakutkan pengamal media khususnya wartawan dalam membuat liputan terhadap perkembangan negara.

Bagi kami, pihak polis tidak sewajarnya melakukan tindakan sedemikian sebaliknya meneliti serta menyiasat isi kandung apa yang dilaporkan oleh para wartawan.

Para wartawan sewajarnya memberikan kebebasan sepenuhnya dalam membuat liputan terhadap apa jua isu khususnya hal berkaitan kepentingan serta kepincangan negara.

Bagi kami, Arif Atan adalah wartawan yang sangat komited dalam membuat liputan terhadap apa jua isu, bukan sahaja perkembangan parti hatta beliau sangat konsisten untuk mengangkat isu-isu negara dalam memberikan maklumat kepada seluruh rakyat.

Perkara 10 Perlembagaan negara dan Deklarasi Universal Hal Asasi Manusia 1948 yang menjamin hak pengamal media dan wartawan haruslah dipertahankan. Semua pihak wajar menghormati hak wartawan seperti apa yang termaktub di dalam perlembagaan negara itu.

Oleh yang demikian, kami mendesak agar kerajaan dan pihak polis menghentikan tindakan sedemikian yang dipercayai akan menjadi pemula kepada dakwaan-dakwaan yang dilakukan terhadap pengamal media menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Pemuda AMANAH Nasional yakin, tindakan pihak polis itu juga ditolak sekeras-kerasnya seluruh warga media di dalam negara ini!
Membina Negara Berintegriti
#PemudaBekerja
* MOHD SANY HAMZAN adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional