Categories
GLOBAL

Moon Jae-in Presiden baharu Korea Selatan, angkat sumpah hari ini

SEOUL 10 MEI: Pemimpin Parti Liberal, Moon Jae-in, yang dijadualkan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden Korea Selatan, hari ini, bakal berdepan tugas besar untuk mengepalai negara yang kini dilanda ketegangan geopolitik.

Jae-in, 64, juga dijangka mengumumkan anggota utama Kabinet dan melantik kakitangan pejabat presiden, seawal hari ini, bagi mengakhiri kekosongan kuasa pemerintahan berikutan penyingkiran bekas Presiden Park Geun-hye atas tuduhan rasuah, pada Mac lalu.

Antara cabaran pertama sebagai Presiden Korea Selatan, Jae -in berdepan dengan ancaman peperangan dengan Korea Utara, selain perlu berusaha meredakan konflik perdagangan dengan Amerika Syarikat, lapor REUTERS

Malah, pentadbirannya juga perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan ketegangan dengan Chinal, berikutan penempatan sistem pertahanan antisenjata di Korea Selatan bagi mencegah ancaman serangan senjata dari Pyongyang.

Selain itu, Jae-in juga perlu menyatukan semula rakyat dan menangani perpecahan dalam kalangan pengundi, susulan skandal rasuah membabitkan pemimpin negara itu.

“Saya akan mewujudkan sebuah negara yang adil, bersatu padu.

“Saya akan menjadi presiden yang berkhidmat untuk semua, termasuk mereka yang tidak menyokong saya,” kata Jae-in, yang juga bekas peguam hak asasi manusia dan mengetuai parti sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, keputusan rasmi menunjukkan Jae-in memperoleh kemenangan mutlak selepas penduduk yang keluar mengundi mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 2o tahun, walaupun dalam keadaan tidak menentu di Korea Selatan.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan, Jae-in berjaya meraih 41.1 peratus undi berbanding calon Parti Konservatif, Hong Joon-pyo (24 peratus) dan calon haluan tengah, Ahn Cheol-soo (21.4 peratus).

=EZY=