Categories
NASIONAL

PAKATAN alu penyertaan orang ramai reka logo

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyambut baik cadangan dan minat ditunjukkan orang ramai berkenaan reka bentuk logo gabungan terbabit.

Sehubungan itu, melalui kenyataan medianya, PAKATAN mengalu-alukan penyertaan pihak awam dengan memberi cadangan terhadap perkara berkaitan untuk diputus dan dimuktamadkan parti berkenaan.

“Setelah mengambil kira dapatan dan pandangan umum yang diberi serta berpandukan pandangan dalam kalangan pimpinan PAKATAN, kita mengalu-alukan cadangan balas reka bentuk logo PAKATAN dari pihak berminat,” katanya.

Orang ramai khususnya netizen memberi maklum balas positif berhubung reka bentuk logo PAKATAN yang dipromosikan di lama media sosial, semalam.

Antara garis panduan terbabit ialah:

1. Sebaik mungkin, logo perlulah terdiri daripada dua warna, dan perlu disertakan versi hitam-putih untuk tujuan paparan di kertas undi.

2. Logo mestilah menggunakan simbol yang mudah dikenali atau difahami ramai.

3. Logo perlu mempunyai rasional berteraskan konsep-konsep “harapan”, “demokrasi”, “keadilan”, “integriti” dan “perpaduan”.

4. Logo mestilah boleh dilihat sepenuhnya pada skala kecil (seperti pada lencana baju) dan besar (seperti bendera bersaiz besar).

Logo versi akhir sebaiknya adalah dalam format ‘outlined vector’ dan dibuat menggunakan Adobe Illustrator (.ai) atau program seumpamanya.

Orang ramai boleh menghantar cadangan logo PAKATAN ke [email protected] mulai hari ini hingga jam 10 pagi Selasa, 9 Mei, dengan menyertakan nama, nombor MyKad serta nombor telefon pereka logo.

Pihak terbabit menjelaskan penganjur berhak ke atas logo diterima untuk kegunaan PAKATAN dan boleh membuat perubahan kepada corak asal.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi [email protected]