Categories
NASIONAL

Penjawat awam palsu slip gaji bakal disiasat

SHAH ALAM, 4 MEI: Penjawat awam yang disyaki menggunakan slip gaji palsu untuk mendapat pinjaman kewangan bakal berdepan siasatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikesan menerusi cetakan slip gaji daripada Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, penjawat awam biasanya mendapatkan pinjaman perumahan, kenderaan dan simpanan, namun perlu memastikan ia tidak lebih 60 peratus daripada pendapatan bulanan mereka.

“Institusi pinjaman kewangan akan memberi pinjaman tanpa penjamin dengan dokumen mencukupi, namun ada segelintir penjawat awam bertindak di luar jangkaan,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berhubung lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis ekoran kegagalan menguruskan pinjaman.

Azih berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan  melebihi kemampuan gaji mereka.