Categories
SASTERA

Perihal sebiji epal merah

OLEH AK KELANA

MATAHARI telah naik beratus kali sejak dia menjulurkan kaki keluar dari jendela kamarnya awal tahun lalu. Matanya terbuka lagi oleh denyutan nafas hutan serta desing suara penghuninya. Rumput bergetar oleh angin, meneleh embun di hujung daun. Sungai yang mengalir tanpa henti menyambut daun tua yang gugur dari ranting pohon. Burung bangun awal, mencari cacing menyuap perut kecil mereka. Unggun api telah dipadamkannya bangun tadi lagi setelah dia memanggang seekor ikan sungai yang tak diketahui namanya. Dari dalam perut belantara yang sudi menghamilkannya selama beberapa hari itu, dia beranak keluar berjalan menuju matahari terbenam.

Begitulah bagaimana kembaranya bermula pada suatu pagi. Hari sebelumnya, rumah tiba-tiba kosong. Ibu dan ayahnya tidak pulang dari kerja setelah jam sembilan malam itu. Dia bersendirian di dalam kamarnya. Mbah Suti si pembantu rumah juga hilang. Dia tertidur akhirnya dan bermimpi didatangi seorang lelaki.

“Nanti kaubuka mata, kembaralah.” Tirus suara lelaki itu seperti gesekan mancis.
Dia ingin bertanya tetapi mulutnya terkunci. Lelaki yang seperti malaikat putih itu menghulurkannya sebiji epal berwarna merah. Harum baunya. Kental kulitnya berkilat apabila disuluh cahaya bulan.

Epal“Nanti kaubuka mata, kembaralah! Halakan kakimu ke arah matahari terbit dan apabila kautemui maksud epal ini, pulanglah menurut matahari terbenam. Di dalam epal ini, terkandung segala isi yang kau tidak tahu, kau tidak nampak dan kau tak pernah lihat serta ibumu, serta ayahmu…serrr..taaaaaaaaa…”

Lelaki dalam jubah putih itu tiba-tiba menghilang. Segalanya memutih sehinggalah dia memutuskan untuk membuka mata dan terkejut apabila dia mendapati dalam tangannya terdapat sebiji epal merah. Ketika fajar masih menghendap curiga dari balik pokok-pokok dan bukit-bukit, dia melompat ke luar jendela dengan sebuah beg galas berisi sebarang dua kelengkapan untuk kembaranya, serta sebiji epal merah dari mimpi malam itu.

Dan hari ini merupakan hari yang kesekian hari, dia menuju matahari terbit. Mula-mula pada awal kembaranya, dia menempuh gurun, laut, dan kini dia menemukan hutan. Dia telah hafal semua arah angin, naik-jatuh matahari dan suara alam.

Ketika sampai di gurun, dia mula sedar yang epal merah itu tidak pernah buruk dan busuk. Setiap kali dia dahaga atau lapar, epal itulah digigitnya dan setiap gigitan itu tumbuh semula! Fahamlah dia bahawa epal itu merupakan sebiji epal ajaib yang akan sentiasa menyambung nyawanya sepanjang kembara.

Setelah hutan ini, dia berharap akan menemui manusia lagi. Iya. Sebelum ini dia telah menemukan sebuah kota setelah menyeberangi lautan biru. Dia pandai berenang tetapi di lautan itu dia berjalan seperti seorang wali Tuhan yang telah mencapai maksudnya.
Suasana di kota membuatkannya kagum. Kota itu penuh dengan bangunan dan jalan teratur seperti disusun. Bergumul ramai manusia di dalamnya. Setiap bangunan penuh ukiran dan lukisan warna-warni tanda kota itu meraikan kesenian. Pelbagai lapisan masyarakat mesra menyambutnya selaku musafir. Ucapan salam memenuhi ruang telinganya sehingga tidak sempat dia menjawabnya satu-satu. Lama berjalan mengelilingi kota itu, dia berhenti pada satu tulisan pada dinding. Nyata, kota penuh kesenian ini tidak hanya meraikan seni semata malah kebudayaan dan ilmu pengetahuan. Dia tiba-tiba ditegur seorang lelaki.

“Kamu,” lelaki itu menguntum bicara, “dari mana, saudara?”

“Aku seorang kembara, tuan.”

“Bersyukurlah, seorang kembara merupakan pembawa obor masyarakatnya! Apa yang tuan bawa dalam beg kecil itu?”

Dia memberi lelaki itu epalnya.

“Epal ini dari tanah seberang ya! Kami meraikan semua buah-buahan di sini. Jangan bimbang!”

Dengan tamatnya perbualan singkat itu, dia dibawa ke rumah lelaki tadi yang mengenalkan dirinya sebagai Akil.

“Terima kasih, tuan. Kalau boleh, bermalamlah saya di sini tua tiga hari lagi demi menyantuni kota ini.”

“Silakan tuan!”

Serentak kata-kata itu, dia teringatkan beberapa catatan yang sempat ditulisnya dalam buku nota mengenai kota tersebut.

Catatan hari pertama

Melewati kota ini, seronok sekali melihat pelbagai lapisan masyarakat bebas mengamalkan adat tradisi dan agama di rumah ibadat serta pondok kebudayaan masing-masing. Oh. Ke pasar hari ini, pelbagai buah-buahan dijual termasuk epal! Mengelilingi kota untuk melihat hasil seni yang tidak hanya mural malah persembahan jalanan dari muzik sehingga ke karya lukisan dan persembahan bebas. Kota yang menarik!

Catatan hari kedua

Berpeluang ke sebuah rumah ibadat iaitu masjid. Tak sangka masjid bukan saja dijadikan sebagai pusat penyebaran agama malah penyebaran ilmu-ilmu sains, falsafah dan matematik dari guru bertauliah! Sangat seronok dapat berbual-bual dengan seorang lelaki (yang kemudiannya mengaku sebagai imam masjid itu) mengenai peranan rumah ibadat sebagai wadah mendidik dan menyatukan masyarakat.

Catatan hari ketiga

Seronok di sini tetapi yang tidak enak aku menyaksikan seorang wanita diragut. Kota yang sebegini baik masyarakatnya, terlalu sempurna tetapi masih ada kejahatan. Kata Akil, “Di mana saja ada kejahatan kerana kejahatan lahir dari dalam bukan dari luar. Dan kata orang, pencuri yang berilmu lebih licik dari pencuri yang tidak.” Aku senang dan dengan kenyataan itu.

INFO HADIAH SASTERADia menutup buku catatan tersebut apabila melihat beberapa ekor kijang berlari-lari lincah ke dalam semak. Beberapa pemburu yang mengejar kijang tadi pantas menghampirinya, meninggalkan kijang-kijang tadi bebas ke dalam belantara.
“Kamu… dari mana?” soal seorang lelaki dari sekumpulan pemburu itu.
“Aku kembara, baru melintasi hutan ini ingin menuju sana,” sambil menghalakan jarinya ke arah matahari jatuh.
“Di sana kampung kami. Dan kami tidak menerima kembara.”
Dia kaku mendengar bicara lelaki itu. Tubuhnya tiba-tiba merasakan getaran yang tiada lain tidak pernah dirasakan sebelum ini. Seorang lelaki di sebelah lelaki yang berbicara tadi menarik deras begnya. Terbeliak mata mereka apabila lelaki itu memegang epal di dalam genggaman. Lelaki itu berkata, “Kau tahu? Di tanah ini, kami tidak makan epal. Yang memperdagang atau memiliki epal akan dihukum!”

Mendengar kata-kata dari lelaki itu, dia tersenyum. Tahulah dia perjalanannya demi epal itu telah mencapai maksudnya melebihi segala maksud yang termaksudkan. Tanpa bunyi apa dan tanpa disedarinya, dia telah tercampak jauh menuju matahari terbenam kembali ke dalam penjara – kamarnya sendiri.
Ibu dan ayahnya bergegas memasuki kamar seperti anggota polis yang cemas mencari bahan bukti. Cuma satu amaran keras terpacak di lubang telinganya ketika ini – “Kamu kini dilarang memakan epal!”

Dia tiba-tiba ketawa sehinggakan ibunya curiga. Dia sebenarnya teringatkan ikan yang dipanggangnya di hutan tempoh hari. Dia tidak akan pernah lupa, hanya ikan yang mati berenang bersama arus, ikan yang hidup melawannya.

TAMAT