Categories
KENYATAAN MEDIA

Perlunya reformasi segera dalam industri pekerja negara

OLEH PAKATAN

Saban tahun, masyarakat antarabangsa menyambut 1 Mei sebagai Hari Pekerja, bagi memperingati peristiwa perjuangan kaum pekerja pada tahun 1886. Atas prinsip keadilan dan kebenaran, peristiwa 1 Mei merupakan simbolik bagi mengangkat martabat kelas pekerja ke tahap yang lebih tinggi dan baik.

Malangnya, di Malaysia, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional tidak mendidik rakyat untuk memahami peristiwa ini. Rakyat telah diajak untuk memahami 1 Mei sebagai satu hari cuti umum, jika tidak pun sebagai hari untuk mengeratkan hubungan antara sesama pekerja melalui pelbagai aktiviti anjuran kesatuan atau majikan organisasi.

Pakatan Harapan percaya bahawa Kerajaan BN cuba menutup kelemahan besar polisi mereka dalam industri pekerja. Realitinya, pekerja-pekerja di Malaysia hari ini mengalami pelbagai masalah terutama mengenai kebajikan mereka.

PEKERJA 1Kadar pertumbuhan gaji di negara kita amat sedikit jika dibandingkan dengan kadar produktiviti dan kadar kenaikan aset hartanah. Lebih malang lagi, pecahan daripada pendapatan keseluruhan negara menyatakan bahawa hanya sekitar 34.8 peratus sahaja yang diagihkan kepada golongan pekerja dan selebihnya kepada golongan korporat dan kerajaan (melalui cukai).

Keadaan ini membuktikan bahawa wujudnya masalah gaji di negara kita. Ditambah dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga rumah yang meningkat, pekerja hari ini semakin tertindas dengan kekurangan pemilikan aset serta jurang kekayaan yang semakin melebar.

Bertambah malang, Kerajaan BN kurang prihatin mengenai isu ini, malah tidak menampakkan usaha untuk membantu pekerja memperoleh pendapatan boleh guna yang baik serta mengurangkan kebergantungan mereka pada hutang isi rumah.

Kelemahan sistem pendidikan di negara ini menyebabkan majoriti pekerja di negara kita merupakan lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah.

Hanya sekitar 28 peratus sahaja golongan pekerja yang berpengalaman melanjutkan pelajaran ke peringkat tertiari. Keadaan ini dikaitkan dengan pendapatan rakyat Malaysia yang rendah. Kelulusan pendidikan pada tahap-tahap tertentu begitu penting di Malaysia dalam memasuki alam pekerjaan.

PEKERJATahap pendidikan yang rendah akan menyebabkan individu dipaksa bekerja dalam sektor produktiviti rendah yang akhirnya memperoleh pendapatan yang sedikit.

Hari ini, industri pekerja global terbahagi pada golongan pekerja tidak mahir yang berpendapatan rendah, dan pekerja mahir berpendapatan tinggi. Malangnya, pekerja tidak mahir di Malaysia seringkali ditindas dengan pendapatan kecil, bahkan terpaksa bersaing dengan 6 juta pekerja asing yang sebahagian besarnya adalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

Lebih teruk lagi, graduan-graduan di negara kita mempunyai pengangguran yang tinggi disebabkan oleh faktor kekosongan pekerjaaan dan pendapatan yang tidak selari dengan kos sara hidup dan bebanan hutang pendidikan.

Kerajaan BN kurang memberi perhatian pada kebajikan golongan pekerja. Fakta menunjukkan hanya lapan peratus pekerja di Malaysia yang bernaung dengan mana-mana kesatuan pekerja.

Kerajaan tidak memberikan insentif atau menekankan keperluan wujudnya kesatuan pekerja yang berusaha menjaga kebajikan ahli mereka. Daripada perspektif lain, kesatuan sekerja seharusnya lebih progresif dan inovatif dalam menuntut hak pekerja, bukannya membawa idea-idea lama seperti menaikkan usia persaraan.

Dalam era industri, keperluan kesatuan pekerja perlu dititikberatkan dan dilindungi. Majikan seharusnya memahami dan menerima kesatuan pekerja secara terbuka kerana merekalah yang menyumbang tenaga, masa dan idea untuk menggerakkan organisasi yang memberi pendapatan kepada majikan itu sendiri.

Kerajaan BN kurang menekankan mengenai isu diskriminasi dalam pekerjaan. Pakatan Harapan komited dalam menangani isu diskriminasi terutama melibatkan etnik dan gender dalam industri pekerja.

pekerja-swastaKajian menunjukkan bahawa berlakunya keadaan ini disebabkan oleh penguasaan sesuatu etnik dalam sektor pekerjaan awam dan swasta. Manakala, kebajikan pekerja wanita termasuk peluang menjawat portfolio pengurusan tertinggi sepatutnya diambil berat oleh kerajaan.

Permasalahan yang berlaku dalam industri pekerja hari ini jelas menunjukkan kegagalan Barisan Nasional dalam memperjuangkan kelas pekerja.

Dengan 90 peratus pendapatan isi rumah di negara Malaysia bersumberkan gaji dan hasil perniagaan peribadi, persekitaran ekonomi yang semakin mencabar dan tatakelola buruk BN akhirnya memangsakan golongan pekerja.

Jadikan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 pada kali ini sebagai jalan untuk mereformasikan industri pekerja di Malaysia dalam meniupkan semula semangat internasionalism 1 Mei yang sudah sekian lama diabaikan oleh Kerajaan Umno BN.

Selamat Hari Pekerja. Bukan sekadar cuti, bangkitkan semangat reformasi !

PAKATAN HARAPAN

YB Dato’ Abdullah Sani
Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Faiz Fadzil
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Charles Santiago
Parti Tindakan Demokratik (DAP)