Categories
GLOBAL

Pesawat QANTAS A380 patah balik enjin hadapi masalah

SYDNEY 21 MEI: Sebuah pesawat Qantas A380 yang membawa ratusan penumpang terpaksa berpatah balik ke Los Angeles (LA) selepas mengalami masalah enjin, ketika dalam penerbangan ke Melbourne.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan menurut Qantas, ketika kejadian pada Jumaat lalu, penerbangan QF94 itu sudah berada di udara selama dua jam, sebelum juruterbang dikatakan terpaksa membatalkan penerbangan sebaik sahaja penumpang mendakwa melihat percikan api daripada salah satu daripada empat enjinnya.

“@Qantas Penerbangan94 ke Melbourne berpatah balik ke LAX (Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles) dengan percikan api dari enjin dan sekarang sedang diperiksa,” tweet seorang penumpang dikenali sebagai RobD.

Sementara itu, Qantas berkata, percikan api berkenaan mungkin berlaku akibat enjin yang terlalu panas, namun menafikan laporan media di Australia kononnya pesawat terbabit terbakar.

“Perkhidmatan A380 QF94 pada malam Jumaat lalu dari Los Angeles ke Melbourne berpatah balik ke LA selepas mengalami masalah dengan salah satu daripada empat enjin pesawat itu.

“Juruterbang sudah mengikut prosedur standard, iaitu menutup enjin dan pesawat berjaya mendarat di LA semalam pada kira-kira jam 3 pagi (waktu tempatan).

“Pihak jurutera kini sedang memeriksa pesawat,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan semua penumpang meneruskan perjalanan dengan menaiki penerbangan gantian.

=EZY=