Categories
SELANGOR

RM4.1 bilion, pembangunan Lebuhraya DASH

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 MEI : Perbelanjaan RM4.1 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (DASH) disifatkan terlalu besar bagi jajaran sepanjang 21 Kilometer, dakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Berpandukan hasil pengiraannya, beliau menjangkakan RM190 juta dibelanjakan bagi setiap kilometer laluan yang menghubungkan jajaran Puncak Perdana dan Penchala itu.

“Pembinaan lebuh raya ini memberikan kesan yang sangat baik seperti yang telah diperjelaskan kepada umum sebelum ini.

“Cuma belanja kos itu agak tinggi. Dalam kiraan saya sendiri dengan jumlah RM4 bilion untuk jarak 21 KM, ia menjadikan hampir RM190 juta setiap kilometer.

“Mungkin kos itu ada penjelasan yang kita sendiri tidak tahu,” katanya kepada pemberita pada pertemuan sesi taklimat bersama penduduk Villa Suria dan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) di Cahaya SPK Clubhouse, malam tadi.

DASH merupakan lebuhraya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint.

DASHPembinaannya dilaksanakan sebagai laluan alternatif kepada pengguna mengelakkan kesesakan selain menjadi penghubung utama memasuki laluan ke utara dan selatan tanah air.

Ia dijangka siap sepenuhnya dan akan mula dibuka kepada pengguna Ogos 2020 depan.

Bagaimanapun wujud kebimbangan penduduk sekitar Shah Alam, Damansara dan Petaling Jaya sekiranya projek berkenaan bakal memberikan kesan jangka panjang kepada mereka.

Namun, Kerajaan Negeri sebelum ini memberi jaminan pandangan penduduk diambil kira termasuk mengubah reka bentuk jajaran demi kesejahteraan penduduk.

=EZY=