Categories
PBT SELANGOR

Satu lagi projek pengindahan lorong belakang MPSJ

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 3 MEI: Kejayaan projek pengindahan lorong belakang Jalan Kenari 5, Puchong sebelum ini mendorong Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memulakan Projek Pengindahan Lorong Belakang Sunway Metro.

Yang Dipertua MPSJ, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, projek kali ini memfokuskan kepada dua lorong utama di Sunway Metro iaitu Jalan PJS 11/28A dan PJS 11/28B Bandar Sunway.

Katanya, projek pengindahan berkenaan sekali lagi mengekalkan kerjasama dengan The One Academy dan menerima sokongan korporat daripada Sunway Group Malaysia.

“Ini adalah antara inisiatif MPSJ untuk mengubah suasana lorong belakang bangunan khususnya di kawasan komersial menjadi lebih selamat, bersih dan indah.

“Semua pihak juga diseru mendukung usaha ini dan membuang ‘mindset’ bahawa ia tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata,” katanya ketika sesi perbincangan Program Penyertaan Awam bagi Projek Pengindahan Lorong Belakang Sunway Metro, di sini, hari ini.

IMG_7443Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Pada masa sama, Nor Hisham berkata, pemilik dan penyewa premis diminta menyeragamkan syarat dan keperluan ditetapkan MPSJ.

“Selepas tempoh ditetapkan, MPSJ akan mula menguat kuasakan dan tindakan perundangan dikenakan kepada pemilik serta penyewa ingkar.

“Seperti di Kenari, Puchong, kita kenakan RM1,000 kompaun kepada mereka yang membuang sampah dan membasuh kereta di belakang lorong,” katanya.