Categories
NASIONAL

Sukar kesan penipuan pilihan raya tanpa RDPT

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 3 MEI: Penipuan dalam pilihan raya kini sukar dikesan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun kepada parti politik.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan itu dianggap sebagai penipuan SPR baagi memanipulasi undi rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, langkah berkenaan jelas melanggar Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk mendapatkan maklumat.

“Ia juga melanggar ketetapan kerana SPR sepatutnya wajib menyediakan salinan RDPT kepada calon pilihan raya atau pihak berkuasa.

“Langkah mengehadkan akses kepada RDPT akan membuka ruang kepada penipuan dan memudahkan BN yang menjadi sarang rasuah untuk menang tanpa kerelaan majoriti pengundi dalam PRU akan datang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi ini.

Naib Presiden KEADILAN itu berkata, penipuan terbabit juga sekali gus memberi kesan kepada kelangsungan ekonomi rakyat apabila negara terus ditadbir kerajaan yang tidak mengutamakan kebajikan.

izzah“Ia menyukarkan ketelusan dalam proses demokrasi dicapai dan natijahnya rakyat secara majoriti yang sudah menolak BN pada pilihan raya 2013 terpaksa terus merana dalam negara yang mengamalkan dasar menekan.

“Penipuan ini menyebabkan rakyat terus terbeban dengan cukai GST dan kegagalan pengurusan ekonomi negara yang menyumbang kepada kenaikan mendadak kos sara hidup,” katanya.

Terdahulu, SPR memutuskan hebahan RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat tidak lagi diedarkan kepada parti politik bermula suku tahun pertama 2017 seluruh negara.

SPR dalam kenyataannya memaklumkan keputusan itu dibuat memandangkan terdapat proses pameran yang memadai bagi membolehkan pihak berkepentingan memeriksa nama pemohon terbabit.