Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pelopor pertanian negara guna R&D dan teknologi canggih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri memberi anjakan baru sektor pertanian bagi meningkatkan hasil pertanian di negeri itu dan bukan tertumpu kepada sektor pembuatan dan perindustrian semata-semata.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anjakan itu melibatkan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih dan teknologi tinggi yang diperolehi semasa lawatan kerja beliau di Eropah baru-baru ini.

“Kami juga berbincang beberapa teknologi yang wujud dan beberapa R&D yang disediakan untuk membantu sektor pertanian memajukan dan meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya yakin kita menjadi negeri utama Malaysia yang mengendalikan sektor pertanian dengan R&D canggih dan teknologi tinggi membantu warga tani di Selangor ini,” kata beliau ketika merasmikan Agrofest Selangor 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, semalam.

MB AgrofestKatanya, penggunaan teknologi canggih dan R&D mampu meningkatkan hasil pertanian apabila hanya menyumbang RM3.76 bilion atau 1.6 peratus sahaja kepada ekonomi negeri.

Ia berbanding sektor pembuatan dan perindustrian yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 22.6 peratus kepada Kerajaan Persekutuan.

“Asas ekonomi di Selangor masih kuat. Sektor pembuatan, sektor industri masih kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan Selangor menyumbang 22.6 peratus kepada Kerajaan Persekutuan yang mewakili lebih kurang RM232 bilion,” katanya.

Sementara itu, turut hadir pada majlis perasmian adalah Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi.

 

Agrofest tetamu

 

Agrofest1

=EZY=