Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lima dasar sektor pertanian pastikan kelangsungan bekalan makanan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Lima dasar utama sektor pertanian menjadi teras Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan makanan atau ‘food security’ berada pada paras selamat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dasar itu itu adalah pertanian bernilai tinggi, permodenan pertanian, pembangunan agropreneur, program galakan pemasaran dan agro pelancongan yang sedang dalam proses pelaksanaan.

Katanya, tumpuan untuk meningkatkan sektor pertanian makanan akan diberi penekanan lebih tinggi, selain meningkatkan pendapatan usahawan serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture).

“Hasil di sektor yang bernilai tinggi memerlukan pengalaman dan kos penyediaan infrastruktur menjadi kekangan utama selain daripada ilmu pengetahuan berkenaan pelaksanaan projek itu.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri mahu menjadikan syarikat yang berwibawa dan berpengalaman untuk melaksanakannya sebelum dijadikan mentor kepada pengusaha baharu.

“Kita juga mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan menyebabkan kekurangan tanah, justeru petani perlu membabitkan diri dengan teknologi tinggi dan berkonsepkan pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Selangor Agrofest 2019: Pemodenan Pertanian ke Arah Kehidupan Lestari, di Bulatan Bazerana, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim dan Dato’ Abdul Rashid Asari.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mengatasi masalah usia yang semakin meningkat dalam kalangan agropreneuer sedia ada.

Katanya, program kesedaran dan galakan untuk generasi muda turut diberi perhatian melalui kaedah penggunaan peralatan moden yang mula menarik minat golongan itu.

“Selaras penggunaan jualan dalam talian (online trading) yang menjadi trend pemasaran ketika ini, satu program khusus akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Melalui program itu, lapisan orang tengah dapat dikawal yang akhirnya pembeli dan penjual khususnya golongan agroprenuer dapat menikmati jualan dengan harga menarik dan menguntungkan kedua-dua pihak,” katanya.

Untuk rekod, Keluaran Dalam Negara Kasar pertanian bagi Selangor hanyalah 1.5 peratus, pada 2018 dengan nilai RM3.98 bilion.

Categories
SELANGOR

MB: Selangor Agrofest 2018 dilawati lebih 50,000 pengunjung

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Selangor Agrofest 2018 bertemakan Pemodenan Pertanian Ke Arah Kehidupan Lestari dijangka akan menerima lebih 50,000 pengunjung sebelum melabuhkan tirainya hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini berdasarkan jumlah kehadiran tahun sebelumnya yang mencatatkan jumlah pengunjung tidak kurang 50,000 orang.

“Kalau penganjuran tahun-tahun sebelumnya melebihi 50,000 pengunjung dan saya jangka pada kali ini juga sama.

“Saya difahamkan, selain orang Selangor, Agrofest kali ini juga terdapat pengunjung daripada Selatan Perak yang hadir,” katanya kepada media pada Majlis Perasmian Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Sebelum itu, ketika merasmikan acara tahunan itu, Amirudin berkata pelbagai agensi menyertai Selangor Agrofest kali ini.

Antaranya, FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), MARDI, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan IADA Barat Laut.

“Penglibatan kesemua agensi tersebut, rakyat Negeri Selangor khususnya di Daerah Kuala Selangor amat bertuah kerana dapat melihat dan mendapatkan maklumat yang lengkap di dalam satu program disamping membeli pelbagai jenis jualan dari anak pokok sehinggalah kepada produk-produk industri asas tani,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB ucap tahniah kepada PKPS menang dua anugerah

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Usaha keras warga Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) membuahkan hasil apabila berjaya merangkul Anugerah ‘Gold Award Most Fastest Growing Agrotourism Park Category Platinum’ dan ‘Gold Award Agrotourism Initiative Programe’.

Sambil mengucapkan tahniah, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kejayaan itu mengharumkan nama Negeri Selangor dalam sektor agro pelancongan.

“PKPS pada ketika ini telahpun berada pada landasan yang tepat untuk menjadi sebagai peneraju pengeluaran hasil-hasil pertanian secara komersial di Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, selain hasil kelapa sawit, PKPS telah memperindahkan Selangor Fruit Valley (SFV) sebagai sebuah kawasan agro pelancongan yang menarik.

Katanya, di SFV terdapat pelbagai aktiviti-aktiviti pertanian yang merangkumi hampir kesemua jenis tanaman seperti sayuran, buah-buahan, ternakan dan juga projek ternakan madu kelulut.

Amirudin juga sempat mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang melawat FSV.

Categories
SELANGOR

Lembu Sado ‘Made In Selangor’ mampu cecah satu tan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Program penternakan Lembu Sado oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor mula menampakkan hasil apabila program ini berjaya melahirkan baka terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, berat Lembu Sado ‘Made In Selangor’ itu mampu mencecah sehingga satu tan.

“Lembu Sado Made In Selangor ini dikatakan boleh mencecah berat sehingga 1 tan seekor di mana merupakan hasil dari satu teknologi kaedah pembiakan secara permanian berhadas (artificial insemination – AI ) di mana ibu lembu tempatan seperti Kedah, Kelantan atau Local Indian Dairy disuntik dengan semen atau benih yang diimport dari luar negara.

“Hasil dari kaedah tersebut, lembu-lembu yang lebih bermutu di mana tubuh yang besar dapat mengeluarkan hasil daging yang lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, semen pejantanan yang sering digunakan di Selangor adalah seperti Charolais, Limousin dan Belgian Blue.

Katanya, selain itu projek dan program Jabatan Perikanan Selangor seperti kajian untuk meningkat hasil kerang dan juga ternakan ikan air tawar turut menghasilkan pulangan tinggi seperti ikan ketutu, ikan ternakan air masin yang bernilai tinggi serta ikan-ikan hiasan.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Selangor buka tanah baharu, perintis kaedah ‘veggie factory’

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Selangor maju setapak lagi di hadapan apabila bersedia membuka tanah baru bagi merintis projek pertanian berteknologi moden yang tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kaedah yang dinamakan sebagai ‘veggie factory’ atau ‘plant factory’ itu merupakan teknologi yang telah dimulakan dan semakin mendapat tempat dalam kalangan negara-negara maju seperti Jepun, Taiwan dan Negara Eropah termasuk juga di Singapura.

“Konsep ‘food belt’ dan ‘food priority’ akan terus menjadi asas kepada Dasar Pertanian Negeri Selangor dan pada ketika ini Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) mula diperkatakan sebagai hala tuju sektor pertanian yang lebih jitu dengan menitik beratkan penggunaan teknologi moden dan menjadi lebih persis sesuai dengan keadaan Selangor yang mempunyai keluasan kawasan amat terhad.

“Bagi mencapai hasrat ini, pembukaan tanah baharu akan terus dilaksanakan tetapi ianya haruslah berkonsepkan pertanian moden dan berteknologi tinggi memandangkan tanah untuk sektor pertanian semakin mengecil atas desakan pembangunan dengan pembukaan kawasan perumahan dan perindustrian, amalan penggunaan tanah luas untuk menjalankan projek pertanian bukan lagi menjadi amalan khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, Jabatan Pertanian Negeri Selangor telahpun memulakan langkah awal berorientasikan IR4.0 dengan melaksanakan penyelidikan.

Katanya, penyelidikan projek perintis berkenaan membabitkan penggunaan kaedah penanaman secara tertutup yang tidak melibatkan tanah subur dan luas serta penggunaan cahaya matahari yang maksimum.

Katanya lagi, kaedah penanaman yang menggunakan sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) sebagai media fotosintesis dan mampu mempercepatkan tempoh tuaian hasil.

“Penggunaan teknologi ini juga mampu menghasilkan tanaman makanan yang berkualiti, segar dan selamat dimakan dengan pengawalan cahaya, karbon dioksida, kelembapan suhu, kebersihan ruang dan sistem pengudaraan yang baik kerana ianya dibuat dalam persekitaran yang terkawal atau secara penanaman dalaman,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM32.6 juta diperuntuk tahun ini untuk tingkatkan agropreneur

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 4 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukan RM32.6 juta pada tahun ini bagi hasil dan pendapatan agropreneur di dalam sektor pertanian yang meliputi bidang tanaman, penternakan, nelayan dan juga akuakultur serta Industri Asas Tani (IAT) meningkat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri tekad untuk memartabatkan sektor pertanian sebagai salah satu sumber ekonomi utama negeri.

“Sudah pasti, golongan petani, penternak dan nelayan dari seluruh Selangor tidak akan dilupakan jasa dan sumbangan mereka di dalam menyediakan bekalan makanan kepada seluruh rakyat akan sentiasa dibela.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk mendukung usaha menjadikan sektor pertanian ini bukan sahaja sekadar sumber ekonomi sampingan tetapi memartabatkannya sebagai satu sektor yang akan menjadi peneraju ke arah menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Selangor Agrofest 2018 di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mengambil pelbagai langkah termasuk memberi fokus pembangunan pertanian di kawasan Utara Selangor yang kaya dengan pengeluaran hasil pertanian.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan melalui insentif dan projek pertanian berimpak tinggi dan dalam masa yang sama boleh meningkatkan hasil serta pendapatan golongan agropreneur dan juga menarik minat lebih ramai generasi muda untuk berkecimpung dalam sektor pertanian dengan menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.

“Jika di negara luar, agro pelancongan adalah merupakan salah satu penyumbang pendapatan kepada masyarakat luar bandar secara amnya dan di daerah ini khususnya telah ada bahan-bahan dan infrastruktur yang lengkap dan strategik untuk memungkinkan ianya menjadi kenyataan.

“Pada masa ini, Sekinchan telah dikenali sebagai kawasan pelancongan untuk pananaman padi melalui pengwujudan muzium padi, di Daerah Hulu Selangor pula dengan Selangor Fruit Valley, di Kuala Selangor juga berpotensi untuk menjadikan tarikan pelancong selain daripada tarikan utama yang telah sedia ada iaitu kawasan kelip-kelip dan juga Sky Mirror,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Wanita digalakkan sertai pertanian, variasikan produk keluaran

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA SELANGOR, 3 NOV: Wanita pada masa kini digalakkan menyertai bidang pertanian sekali gus menjadi lebih kreatif, kata EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, wanita juga perlu bijak menginovasikan tanaman dengan penghasilan pelbagai produk menarik.

“Wanita yang membabitkan diri dalam pertanian perlu pandai variasikan sesuatu hasil tanaman supaya berupaya meraih pendapatan seperti tanaman peria yang turut boleh dijadikan sebagai kerepek.

“Apabila tanaman itu divariasikan, harga sudah pasti boleh menjadi lebih berganda sekali gus golongan ini mampu menjana pendapatan walau daripada rumah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat gerai pameran pada Selangor Agrofest 2018, di Pentas Utama Kompleks Sukan, di sini, semalam.

Selain itu, katanya, perniagaan kecil-kecilan berasaskan hasil penanaman mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya wanita serius menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Saya akui bidang pertanian ini ada turun naik bergantung kepada keadaan cuaca namun sebab itu saya kata seseorang perlu kreatif membuat sesuatu produk yang boleh bertahan lama,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor pelopor pertanian negara guna R&D dan teknologi canggih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 21 MEI: Kerajaan Negeri memberi anjakan baru sektor pertanian bagi meningkatkan hasil pertanian di negeri itu dan bukan tertumpu kepada sektor pembuatan dan perindustrian semata-semata.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, anjakan itu melibatkan kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) canggih dan teknologi tinggi yang diperolehi semasa lawatan kerja beliau di Eropah baru-baru ini.

“Kami juga berbincang beberapa teknologi yang wujud dan beberapa R&D yang disediakan untuk membantu sektor pertanian memajukan dan meningkatkan produktiviti masing-masing.

“Saya yakin kita menjadi negeri utama Malaysia yang mengendalikan sektor pertanian dengan R&D canggih dan teknologi tinggi membantu warga tani di Selangor ini,” kata beliau ketika merasmikan Agrofest Selangor 2017 di Stadium Sungai Besar, di sini, semalam.

MB AgrofestKatanya, penggunaan teknologi canggih dan R&D mampu meningkatkan hasil pertanian apabila hanya menyumbang RM3.76 bilion atau 1.6 peratus sahaja kepada ekonomi negeri.

Ia berbanding sektor pembuatan dan perindustrian yang menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 22.6 peratus kepada Kerajaan Persekutuan.

“Asas ekonomi di Selangor masih kuat. Sektor pembuatan, sektor industri masih kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan Selangor menyumbang 22.6 peratus kepada Kerajaan Persekutuan yang mewakili lebih kurang RM232 bilion,” katanya.

Sementara itu, turut hadir pada majlis perasmian adalah Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak, Sallehen Mukhyi.

 

Agrofest tetamu

 

Agrofest1

=EZY=