Categories
NASIONAL

SPRM rampas RM800,000 dari rumah anggota polis

PUTRAJAYA, 18 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai kira-kira RM800,000 dari stor rumah seorang anggota polis berpangkat koperal di Melaka.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan rampasan dan tangkapan dilakukan pihaknya itu, lapor bernama.

Anggota polis ditahan SPRM berusia 52 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Melaka.

Beliau adalah individu ke 10 ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar negeri itu.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 24 Mei terhadapnya bagi membantu siasatan selepas membenarkan permohonan reman dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17 (a) Akta SPRM 2009.

Tindakan SPRM itu adalah salah satu usaha pihaknya memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa seperti mana titah DYMM Yang Dipertuan Agong, Sultsn Muhammad V.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya bertekad membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

“Sebagai satu-satunya agensi penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya menggunakan segala kemampuan yang ada,” katanya

Sultan Muhammad V dalam titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, Mac lalu, menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.