Categories
SELANGOR

SPRM tekad jadi agensi digeruni perasuah tapi mesra rakyat

OLEH: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berhasrat menjadi sebuah agensi yang digeruni perasuah pada masa sama mesra rakyat.

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, pihaknya menetapkan sasaran dalam tempoh tiga tahun sektor kritikal negara seperti perkhidmatan awam khususnya agensi penguatkuasaan, badan pengawal dan pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta, institut kewangan dan perbankan bebas daripada rasuah.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, fokus dan penekanan turut diberikan kepada pendekatan terhadap tindakan merampas semula ke semua harta dan hasil rasuah.

“Pelbagai strategi direncana seperti tindakan operasi serta penguatkuasaan memerangi rasuah dilipat gandakan dengan lebih agresif oleh SPRM.

“Hal ini perlu bagi memastikan hasil rasuah atau ‘proceed of corruption’ dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan punca kepada berlakunya perilaku jenayah rasuah,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, semalam.

Tambahnya lagi, selain menguatkuasakan Akta SPRM 2009, SPRM kini turut menggunakan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta AMLARFPUAA 2001) iaitu dalam mana-mana operasi berskala besar dengan merampas aset kemewahan diperoleh melalui kegiatan jenayah rasuah.

“Banyak dilaporkan akhbar memaparkan SPRM menyita wang tunai puluhan juta, kereta mewah, tanah dan barang kemas.

“Hal ini memastikan dapat membuktikan si pelaku rasuah tidak diberi layanan istimewa dengan menyorok jenayah dilakukan selepas selesai menjalani hukuman.

“Diharap sokongan dan keinginan rakyat untuk berdiri berganding bahu bersama SPRM dalam perjuangan memerangi rasuah bertambah meningkat,” katanya.

=EZY=