Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan puji pentadbiran negeri, tingkat martabat wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MEI : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sukacita di atas pemilihan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh sebagai speaker wanita pertama dan termuda negara.

Baginda bertitah, lantikan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri mengangkat martabat wanita dalam pentadbiran Selangor.

“Selangor telah mencatatkan sejarah dengan memilih speaker wanita dan yang paling muda di Malaysia.

“Beta mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini kerana ianya membuktikan bahawa anak muda dan wanita mampu memimpin dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat negeri ataupun negara,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia, 2017.

Hannah Yeoh menggalas tugas sebagai Speaker DNS di bawah Kerajaan Pakatan pada 21 Jun 2013 lalu.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai pembaharuan dan pengukuhan demokrasi diterapkan dalam dewan negeri bagi memberi peluang Ahli Dewan Negeri berbahas secara konsisten.

Ia termasuklah mewajibkan Ketua Pembangkang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Awam, selaras amalan negara Komanwel.

Selain itu, kemudahan, elaun dan akses pengangkutan turut diberikan kepada Ketua Pembangkang bagi memastikan fungsi dewan negeri dijalankan secara berkesan.

Mengambil kira segala pelaksanaan itu, Baginda bertitah supaya dewan negeri dan badan legislatif sentiasa bergerak maju dalam memenuhi peranan dalam pentadbiran negeri.

Titah Baginda, ia termasuklah kerjasama komponen kerajaan dan peranan dimainkan wakil pembangkang dalam dewan negeri.

“Beta ingin menegaskan bahawa gerak usaha haruslah bersendi semula dengan nilai teras budaya bangsa kita yang sentiasa menghormati Majlis Raja-Raja,” titah Baginda.

=EZY=