Categories
SUKANKINI

PKNS FC mahu bawa pulang Piala Sultan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: PKNS FC meletakkan sasaran untuk membawa pulang Piala Sultan Selangor dalam pertemuan menentang Pilihan Singapura, di Stadium Nasional, Singapura pada Sabtu ini.

Jurulatihnya, E Elavarasan berkata pemilihan PKNS FC untuk mewakili Selangor merupakan satu penghormatan yang besar dan pasukannya akan beraksi sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita membawa nama Selangor dan pastinya Pilihan Singapura merupakan satu skuad yang mantap dengan gabungan pemain tempatan serta import.

“Tidak banyak perubahan daripada pasukan kita namun PKNS FC akan memberikan persembahan terbaik untuk edisi ke-16,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, PKNS FC sedia menurunkan kesebelasan utama terbaik seperti sebelumnya disamping pengalaman beraksi menentang Lions XII dalam aksi liga sebelum ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Beliau turut berharap pemainnya bebas daripada kecederaan kerana PKNS FC dijadualkan bertemu Kedah pada 9 Mei dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Super.

“Kedua-dua perlawanan penting bagi kami tetapi kita fokus menentang Pilihan Singapura terlebih dahulu.

“Dalam bola sepak sebarang kemungkinan boleh berlaku. Kalau kita beraksi dengan baik, tidak mustahil keputusan positif kita mampu capai,” katanya.

Kejohanan Piala Sultan Selangor 2017 turut menyaksikan pertembungan antara veteran Selangor bertemu veteran Singapura selain pertandingan Piala Kejohanan Sekolah Selangor dan Singapura yang bakal disertai pelajar di bawah umur 16 tahun.

Penganjuran edisi ke-16 kali ini menyaksikan penajaan berjumlah RM1.06 juta daripada 14 syarikat dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil sebagai penaja utama menerusi tajaan berjumlah RM200,000.

=EZY=