Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor tinjau proses padi negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Komited memastikan pengeluaran beras tani berasaskan penghasilan padi negeri berada dalam keadaan terbaik, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli meninjau proses penghasilan beras, di Kilang Operasi Beras, PLS Marketing (M) Sdn Bhd, di sini.

Diiringi Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin bersama Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin bersama delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, baginda turut berkenan mendengar taklimat penghasilan beras tani dilaksanakan di kilang berkenaan.

Sesi taklimat disampaikan, Pengarah Urusan PLS Marketing (M) Sdn Bhd, Lim Mau Soo sebelum diperkenan baginda untuk dibawa ke beberapa bahagian pemprosesan beras mengikut jenis dan piawaian hasil tani.

SULTAN SEKINCHAN (1)Terdahulu, baginda tiba di daerah itu sempena lawatan rasmi baginda ke Sekinchan untuk mendekati masyarakat setempat khususnya di kawasan pinggir bandar.

Untuk rekod, Sekinchan antara kawasan pertanian di Selangor yang menghasilkan produk padi tertinggi di negeri itu.

Sekinchan juga kawasan di bawah Parlimen Sabak Bernam yang mempunyai keluasan 14,099 hektar kawasan penanaman padi bersamaan 71 peratus daripada keseluruhan tanaman padi di negeri itu.

Sebelum ini, Selangor mencapai perolehan pengeluaran padi terbesar negara dengan penghasilan 6500 kilogram tan setahun, bagi tempoh 2011 hingga 2015.