Categories
SELANGOR

Suspek kes rogol maut jatuh tingkat 12 PPR

SHAH ALAM, 19 MEI: Seorang lelaki dipercayai suspek kes samun dan rogol di sebuah premis di Bandar Kinrara Puchong pada 11 Mei lalu maut selepas terjatuh dari tingkat 12 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, di ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, suspek berusia 22 tahun itu cuba melarikan diri selepas polis melakukan serbuan di rumahnya, kira-kira jam 10.10 malam.

“Anggota polis bertindak memecahkan pintu selepas suspek enggan membukanya. Suspek kemudian cuba melarikan diri ke unit bawah dengan bergayut di ‘grill’ dapur.

POLIS BIRU 2 4x4“Selepas dipujuk, suspek masih enggan menyerah diri sebelum terjatuh ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor BERNAMA.

Mohd Aminuddin berkata, lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pada 16 Mei lalu, seorang wanita warga Indonesia serta lelaki warga Bangladesh berusia 33 dan 34 tahun iaitu mangsa kes berkenaan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang.

Seorang lagi suspek yang berusia 26 tahun ditahan di Kuala Selangor, pada 14 Mei lalu.

Pada 13 Mei lalu, satu video berhubung kejadian samun dan rogol oleh dua lelaki di sebuah premis Puchong, tular di media sosial.