Categories
KENYATAAN MEDIA

Tanpa ketirisan, tidak mustahil pendidikan percuma mampu dilaksana

OLEH WONG CHEN

Perjuangan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam isu pendidikan percuma tetap diteruskan dalam membawa arus reformasi pendidikan tinggi dan industri pekerja.

Di Malaysia, hampir 77 peratus pekerja mempunyai tahap kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan juga kebawah. Hal ini disebabkan oleh kekurangan peluang mereka melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari, antaranya disebabkan oleh faktor kekangan kewangan.

Impaknya, majoriti pekerja terpaksa menghabiskan masa dan tenaga untuk bekerja dalam sektor produktiviti rendah, di mana hasil pendapatan diperoleh tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup.

Pada masa sama, graduan di universiti tempatan menghadapi keadaan ekonomi semasa di mana lebih kurang 273,000 graduan sedang menganggur.

PTPTNLebih teruk lagi, sebahagian mereka memerlukan wang untuk membayar hutang pinjaman pendidikan, antaranya adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pendidikan percuma telah dilaksanakan di sebahagian negara Nordic seperti Denmark dan Finland. Asasnya adalah, pendidikan percuma dapat menghapuskan kitaran ganas kemiskinan, melalui peluang yang diberikan kepada anak muda dari kelompok berpendapatan rendah untuk menempatkan diri dalam kerjaya yang berpendapatan lebih tinggi berbanding keluarga asalnya.

Pendidikan percuma merupakan pelaburan terbaik kerajaan menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan inovatif, seterusnya memberi pulangan hasil lebih tinggi kepada kerajaan dalam bentuk cukai pendapatan.

Malangnya, Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memahami idea ini, bahkan sanggup memotong peruntukan Bajet Kementerian Pengajian Tinggi dengan membiarkan pelbagai program tidak berfaedah terus memperoleh peruntukan.

PENDIDIKAN PERCUMAKertas kerja baharu yang disediakan oleh pihak saya menunjukkan bahawa berdasarkan data bilangan pelajar dan kos pengajian semasa, kerajaan hanya memerlukan belanja tambahan sebanyak RM1.77 bilion setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma.

Manakala merujuk pada pengumpulan Laporan Ketua Audit Negara dan juga data National Oversight & Whistleblowers (NOW), KPT mempunyai anggaran tahunan ketirisan sebanyak RM1.92 bilion.

Dengan mensifarkan ketirisan, saya percaya Kerajaan Pakatan Harapan mampu menyediakan pendidikan percuma untuk pelajar universiti awam tempatan.

Kajian saya juga mencadangkan bahawa Kerajaan Persekutuan seharusnya menukar pinjaman PTPTN bagi universiti awam sebanyak RM2 bilion setahun terus kepada geran pemberian.

Dengan kadar pembayaran semula peminjam yang terlalu rendah iaitu sekitar 14 peratus, mereformasikan PTPTN adalah perkara penting dalam mengurangkan beban anak muda, seterusnya mewujudkan Malaysia sebagai model negara berkebajikan.

Dengan kajian ini, maka semakin jelas polisi Pendidikan Percuma dapat diadaptasikan apabila PAKATAN memperoleh mandat mentadbir negara pada masa akan datang.

Selain memperkenalkan polisi ini, PAKATAN juga komited dalam mengkaji status autonomi universiti, kerelevenan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan juga kebolehpasaran graduan.

Perkara penting sebegini tidak dipedulikan BN yang semakin jelas terarah kepada korupsi, rasuah dan tatakelola buruk.

Hasrat saya adalah rakyat lebih bijak dalam memilih pihak terbaik untuk menerajui pentadbiran negara pada PRU 14.

Kewajaran mereformasikan polisi pendidikan merupakan keutamaan yang penting dalam menentukan hala tuju negara untuk jangka masa panjang.

Proposal yang saya dan rakan-rakan sediakan mengenai penghapusan ketirisan dan juga tukar PTPTN untuk universiti awam terus kepada pemberian boleh diakses di laman berikut: http://www.wongchen.com/wp-content/uploads/2017/05/Free-public-higher-education-Look-ma-no-fees.pdf

* Wong Chen adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya (KEADILAN)