Categories
SUKANKINI

Tekad bersaing, PKNS FC mahu perkukuh pasukan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: PKNS FC sedang menilai beberapa pemain untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan pasukan dalam tempoh kedua jendela perpindahan Liga Super 2017 yang bermula semalam.

Jurulatih E Elavarasan berkata, keutamaan akan diberikan kepada bahagian pertahanan selain bahagian tengah dan serangan bagi mengharungi pusingan kedua liga dan Piala Malaysia.

“Kita masih mencari pemain dan bahagian pertahanan akan beri keutamaan sebab kita menjaringkan banyak gol tetapi bolos juga banyak.

PKNS FC“Kita tengok nanti kerana ada beberapa bahagian yang perlu diperbaiki tambahan kita perlu bangkit pada pusingan kedua,” katanya.

Jendala perpindahan kedua musim ini bermula 15 Mei dan akan berakhir pada 11 Jun 2016.

Menyentuh kemungkinan pemain import baru yang akan dibawa masuk, Elavarasan berkata beliau pastinya mahu pemain baru itu lebih baik berbanding sekarang.

“Kalau ambil pemain import baru, mesti lebih baik untuk pasukan. Kalau tidak ia hanya akan merugikan kita,” katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa, Red Ants berjaya menjaringkan 25 gol selepas 12 perlawanan namun, melepaskan 22 gol dan menduduki tangga kesembilan dengan 11 mata.