Categories
ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA

Tenaga boleh diperbaharui lebih untung dan selamat

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan digesa memberi perhatian khusus bagi meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy – RE) memandangkan ia lebih menguntungkan sekali gus mengurangkan kos mengimport bahan api fosil dari luar negara.

Eksekutif Kajian dan Dasar Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (Wecam), Nur Imani Abdullah berkata, selain penggunaannya yang selamat, RE juga berupaya mengurangkan pelepasan karbon kesan daripada pembakaran bahan api fosil untuk menjana elektrik.

“Tenaga boleh diperbaharui (RE) boleh membantu kewangan negara berbanding penggunaan bahan api fosil seperti minyak dan gas.

“Rizab minyak dan gas negara semakin berkurangan, Malaysia perlu bergantung kepada pasaran global yang mungkin mengalami masalah seperti permintaan semakin meningkat, bekalan terhad dan turun naik harga pasaran yang akan membebankan sektor tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

different-renewable-energy-sourcesRE adalah sumber tenaga yang sentiasa dihasilkan secara semula jadi dalam jangka masa singkat sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada sumber seperti matahari atau pergerakan sumber alam yang lain selain mekanisme alam sekitar.

Sumber RE tidak termasuk tenaga diperoleh daripada bahan api fosil, sisa produk daripada sumber fosil, atau bahan buangan daripada sumber bukan organik.

Nur Imani berkata,prospek RE di Malaysia adalah tinggi memandangkan kedudukan demografi di tropika membolehkan negara menerima kelajuan angin pada kadar tinggi, cahaya matahari panjang dengan kadar 12 jam sehari dan jalur pantai panjang sekali gus memberikan peluang kepada Malaysia membangunkan sumber RE.

Tambahnya, ia diperkuatkan lagi apabila RE adalah sektor tenaga yang tidak perlu bergantung di pasaran dunia dan tidak perlu mengimport sumber tenaga daripada lain negara.

“Menurut laporan tahunan Suruhanjaya Tenaga (ST), sebanyak 24.6 juta tan arang batu digunakan dalam stesen jana kuasa. Di semenanjung, arang batu diimport dari luar negara.

“Indonesia adalah pembekal terbesar untuk membekalkan sebanyak 56%, diikuti oleh Australia dengan 30%, Rusia 9% dan 5% di Afrika Selatan,” katanya.

Menurut satu kajian baru-baru ini mengenai tenaga kadar penggunaan, dunia akan mengalami kekurangan sumber tenaga gas asli dalam tempoh 60 tahun. Jangka hayat arang batu hanya mampu bertahan selama 130 tahun dari sekarang.

Sementara menurut Mario Pezzini, Pengarah Pusat Pembangunan OECD dan Penasihat Khas kepada Setiausaha Pembangunan OECD, dalam usaha mengurangkan perubahan iklim dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon, adalah penting bagi negara-negara ASEAN untuk meneroka potensi untuk tenaga boleh diperbaharui.

renewable_energy2“Ini adalah selaras dengan salah satu daripada teras strategik Dasar Perubahan Iklim Negara, di mana menyatukan dasar tenaga menggabungkan amalan pengurusan yang meningkatkan RE dan kecekapan tenaga (EE).

“Pembangunan sumber RE boleh mengurangkan kesan perubahan iklim di negara ini yang semakin teruk setiap hari,” katanya lagi.

Nur Imani juga yakin pembangunan RE di Malaysia mampu menyediakan pekerjaan peluang kepada orang awam untuk terlibat dalam teknologi baru.

“Tenaga boleh diperbaharui akan meyakinkan kita dari segi keselamatan tenaga kerana ia boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api yang diimport seperti arang batu,” katanya.