Categories
NASIONAL

Kerajaan digesa serius tangani pengangguran anak muda

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MEI: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah drastik memperkenalkan polisi baru ekoran tahap pengangguran anak muda membimbangkan ketika ini.

Timbalan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan perlu menghentikan segera sebarang pengambilan pekerja asing dan mensyaratkan setiap syarikat mahupun agensi kerajaan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan.

Katanya, selain itu, kerajaan perlu menggalakkan keusahawanan dalam kalangan anak muda dan memudahcara skim kewangan seperti mikrokredit yang dilakukan kerajaan Pakatan di Pulau Pinang.

“Kerajaan juga boleh memberikan insentif cukai kepada syarikat dan perusahaan yang dimiliki anak muda untuk menggalakkan pengembangan perniagaan mereka.

dr-afif“Kerajaan harus membantu mobiliti usahawan muda di seluruh negara untuk memasarkan produk ke peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, satu medium tersusun untuk panduan kerjaya dan bantuan carian pekerjaan penting untuk diwujudkan.

Laporan Economic Review | 2016 Labour Market keluaran MIDF Research mendedahkan tahap pengangguran dalam kalangan anak muda negara ini terus tinggi sejak 2012.

Anak muda tempatan yang dirujuk dalam laporan itu berusia 35 tahun dan ke bawah.

Kadar pengangguran anak muda mencecah 10.5 peratus dengan jumlah belia menganggur membabitkan 273,400 individu yang berumur di bawah 25 tahun dan merangkumi 17.8 peratus daripada jumlah tenaga buruh Malaysia pada 2016.

Dr Afif berkata, keadaan terbabit berpunca daripada kemelesetan ekonomi global dan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri memberikan keyakinan kepada pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia.

NAJIB 1MDB“Masalah ini juga akibat krisis keyakinan yang dihadapi pemerintah hari ini yang terpalit dengan skandal 1MDB.

“Kegagalan untuk menarik masuk pelaburan asing ini mengakibatkan banyak peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan,” katanya.

Kelantan merupakan negeri yang mempunyai paling ramai anak muda menganggur selain Sabah, Terengganu, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Perlis dan Sarawak yang mencatatkan peratusan dua angka.