Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada PRN awal di Selangor, Kerajaan Negeri fokus PRU 14

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 3 MEI: Kerajaan Negeri menolak kemungkinan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal walaupun berlaku sebarang perubahan permuafakatan dalam komponen Pakatan di peringkat Pusat.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, sebaliknya pentadbiran Pakatan sedia ada akan terus melaksanakan amanah dan kekal fokus menghadapi Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), depan.

“Tiada sebarang kemungkinan berlakunya pilihanraya (PRN) lebih awal kerana (pentadbiran) Selangor kekal kukuh sehingga kini.

“Fokusnya adalah kami sentiasa tenang mentadbir negeri dan isu untuk diadakan PRN juga tidak timbul dan lebih baik kita fokus kepada PRU 14 nanti,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi ini.

Elizabeth berkata, komponen Pakatan juga kini konsisten ke arah permuafakatan bagi mengalahkan Umno Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Optimis ke arah itu, Elizabeth yakin permuafakan itu sekali gus mampu mengkukuhkan sokongan rakyat di negeri ini.

“Pintu itu sentiasa terbuka kerana matlamat kita jelas untuk menumbangkan pentadbiran Barisan Nasional,” katanya.

=EZY=