Categories
PBT SELANGOR

Tindakan tegas sewakan tapak bazar kepada warga asing

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 31 MEI: Peniaga bazar Ramadan yang menyewakan tapak kepada peniaga lain termasuk warga asing bakal berdepan tindakan penarikan permit serta-merta dan disenarai hitam.

Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, peniaga turut diingatkan supaya mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.

“Setakat ini, kita belum menerima laporan mengatakan ada petak disewakan kepada peniaga asing, jika dapat dikesan permit akan ditarik serta merta dan nama peniaga disenarai hitam.

“Pemantauan berterusan akan dilakukan MPSJ disemua lokasi bazar untuk pastikan peniaga mematuhi syarat,” katanya ketika mengadakan lawatan ke bazar Ramadan BK5, baru-baru ini.

Dalam program itu juga, MPSJ turut mengedarkan beg kitar semula kepada pengunjung.

Inisiatif itu sebagai tradisi meneruskan program inisiatif hijau selain mengadakan kempen bebas plastik.

“Ia selaras pelaksanaan pelan bandar hijau MPSJ 2030 sekaligus menyahut seruan Kerajaan Negeri.

“MPSJ juga masih meneruskan kempen sayangi bumi kita dan anugerah penjaja contoh bazar Ramadan 2017,” katanya.

=EZY=