Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

UNISEL tekan aspek keselamatan jalan raya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Menyedari peningkatan kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat, Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya UNISEL 2017.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, kempen yang dilaksanakan buat julung kali itu menekankan aspek keselamatan jalan raya khusus bagi penunggang motosikal.

“Kesedaran berkaitan keselamatan adalah masalah yang perlu diberi perhatian kerana kita menyedari penunggang motosikal antara tertinggi dilaporkan.

“Justeru, UNISEL mengambil inisiatif melaksanakan kempen ini di kampus Shah Alam dan Bestari Jaya bagi memupuk budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar khususnya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya UNISEL 2017 di Dewan Canselor Kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Dr Mohammad Redzuan berkata, kempen itu turut memberi kesedaran kepada pelajar supaya mematuhi peraturan sebagai salah satu langkah keselamatan diri dan orang sekeliling.

IMG_9970Katanya, ia bagi mengambil ikhtibar insiden salah seorang pelajar UNISEL maut ketika menunggang motosikal.

“Kempen ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan mahupun kekerapan minggu enam bulan sekali,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pelaksanaan Program dan Projek Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia, S Sasikumar berkata, statistik menunjukkan kemalangan motosikal sering membabitkan anak muda berumur 16 hingga 25 tahun.

Katanya, jumlah kematian bagi tempoh 10 tahun dari 2006 hingga 2015 menunjukkan penunggang motosikal adalah tertinggi sebanyak 40,363 kes.

“Kini kita banyak melaksanakan kempen di peringkat sekolah supaya pelajar didedahkan lebih awal berkenaan tahap keselamatan, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan membabitkan golongan itu,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan Malaysia melancarkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) pada 15 April lalu yang menekankan faktor penunggang membawa melebihi had laju boleh menyumbang kepada penggantungan atau pembatalan lesen.