Categories
SELANGOR

PTD Sepang tekad bebas rasuah

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 4 MEI: Pejabat Daerah dan Tanah Sepang berikrar menyediakan perkhidmatan telus dan bebas rasuah menerusi program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dilaksanakannya.

Pegawai Daerah Sepang, Roslinah Md Jani, berkata pihaknya komited menyahut seruan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzuklkifli Ahmad, demi kebaikan jabatan itu serta orang ramai.

“Dengan IBR, kita mengharapkan tahun ini dapat mengurangkan serta menghindari rasuah di Selangor khususnya di Pejabat Daerah dan Tanah Sepang sendiri,” katanya selepas program IBR Pejabat Daerah dan Tanah Sepang di sini, hari ini.

PC (12 of 21)Walaupun mengakui sukar, namun Roslinah berkata, dengan kerjasama semua pihak berkaitan ia mampu dijayakan supaya memenuhi keperluan dan kepentingan orang ramai di daerah berkenaan.

“Pelaksanaannya memang sukar tetapi IBR adalah program penekanan kepada individu itu sendiri.

“Ia aspek kekuatan semangat dan iman masing-masing untuk menolak daripaada terjebak rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kebanyakan pegawai dan kakitangan di jabatan itu sering bertugas tanpa mengira waktu serta berdepan pelbagai pihak berkepentingan yang memerlukan perkhidmatan mereka.

“Kita tidak mengambil tindakan drastik tetapi penekanan dengan memberi kesedaran dan semangat (kepada pegawai dan kakitangan) dalam menjalankan tugas dengan betul,” katanya.