Categories
NASIONAL

Veteran ATM perlu buat keputusan berdasarkan prinsip

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Setiap ahli veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh membuat keputusan berdasarkan prinsip yang dipegang bukannya dipaksa dalam isu mempertahankan kerajaan sedia ada.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semangat patriotisme adalah sikap cinta dan setia kepada negara dalam diri setiap individu.

Malah, katanya, tidak wajar memberi sekongan secara terus sekiranya pemimpin yang mentadbir negara secara terus menzalimi serta membebankan rakyat.

Beliau berkata, veteran yang lama berkhidmat untuk negara dan kerajaan dan harus terus berpegang pada prinsip terbabit.

“Perlu saya ingatkan di sini bahawa visi ATM sendiri adalah “Melindungi Kedaulatan, Integriti dan Kepentingan Negara”.

“Menyamakan kesetiaan kepada negara dengan kesetiaan kepada kerajaan adalah satu salah faham yang lazim dan harus diperbetulkan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Sharuddin Omar agar veteran tentera terus menyokong penuh kerajaan sedia ada.

Nik Nazmi turut mahu pihak veteran menilai sendiri keikhlasan pihak kerajaan di dalam menjaga kebajikan veteran yang pernah dizalimi dengan kelewatan pembayaran pampasan, penyalahgunaan dana LTAT dan dasar tidak melindungi veteran ATM.

“Disarankan veteran ATM untuk membuat penilaian bukan berdasarkan sentimen memihak sebarang kerajaan yang memerintah, tetapi atas dasar cinta pada negara dan memilih pemimpin yang berlaku adil,” katanya.

=EZY=