Categories
SELANGOR

Wanita sakit angin ahmar terima zakat RM12,000 setahun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 MEI: Seorang wanita warga emas yang lumpuh seluruh anggota ekoran menghidap penyakit angan ahmar menerima bantuan lebih RM1,000 sebulan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurut laman Facebook LZS, pihaknya menyantuni Fatimah Md Nor, 72, sejak 2013 sehingga kini dengan bantuan di bawah peruntukan asnaf Gharim iaitu pembelian susu khas kesihatan bagi keperluan perubatan.

“Bantuan disalurkan sebanyak RM12,465.60 setahun iaitu sebulan RM1,038.80 untuk 10 tin susu yang disalurkan melalui pembekal atau farmasi terpilih.

“Kami berharap bantuan wang zakat ini dapat meningkatkan semangat keluarga ini,” katanya.

Fatimah yang merupakan seorang balu (kematian suami) menghidap sakit angin ahmar hingga menyebabkan seluruh anggota badannya lumpuh.

Beliau yang terlantar sejak lima tahun lalu diberi perhatian sepenuhnya oleh keluarga anaknya di Pangsapuri Seri Jati, Taman Wawasan Puchong.