Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

HIS lebar kerjasama ke Taiwan, bangunkan industri halal

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 MEI: ‘Southbound New Policy’ memainkan peranan penting dalam memperkenalkan perdagangan halal merentas sempadan antara Malaysia dan Taiwan.

Halal International Selangor (HIS) dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini menjalin kerjasama dengan National University Tainan bagi menubuhkan Halal Industrial Center di pusat pengajian tinggi itu.

Katanya, ia merupakan hasil inisiatif Tainan City Industrial Development and Investment Promotion Committee.

“Pusat ini memperkenalkan program latihan Halal Technical Competent Person (HTCP) bagi meningkatkan lagi kepakaran sumber manusia bagi pasaran Global Halalan Toyyiban Trade and Industry (GHTTI).

“Menyedari kepentingan GHTTI, HIS mensasarkan untuk memanfaatkan kapasiti pasaran agar lebih banyak organisasi menerima faedah perdagangan dijalankan.

“Ia harus dilaksanakan berdasarkan prinsip perdagangan halal global iaitu amanah, integriti, keselamatan dan terjamin,” katanya.

HIS berkata, kerjasama itu antara lain menawarkan rundingan perniagaan dan pembangunan sumber manusia.

“Ia juga berhasrat membangunkan industri halal dan industri pelancongan halal serta kerjasama di antara Taiwan dan Malaysia,” katanya.

Pada 24 hingga 28 April lalu, HIS menyertai delegasi diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke Kaohsiung, Tainan dan Taipei di Taiwan.

Turut serta, Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas.