Categories
GLOBAL

WHO: Rokok punca lebih 7 juta maut

GENEVA 31 MEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan amalan merokok dan penggunaan tembakau lain meragut ebih tujuh juta nyawa setiap tahun.

Ia turut memberi amaran mengenai kesan buruk kepada alam sekitar akibat pengeluaran, pengedaran dan sisa pembuangan tembakau, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Agensi itu berkata, langkah tegas diperlukan untuk mengekang penggunaan tembakau, menggesa negara melarang merokok di tempat kerja dan tempat awam, mengharamkan pemasaran produk tembakau dan menaikkan harga rokok.

“Tembakau mengancam kita semua. Ia memburukkan kemiskinan, mengurangkan produktiviti ekonomi, menyumbang kepada pemilihan makanan kepada isi rumah miskin dan mencemarkan udara,” kata Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan, dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelang Hari Tanpa Tembakau Sedunia esok, WHO memberi amaran tujuh juta kematian setahun itu adalah peningkatan daripada angka empat juta pada peralihan abad ini, menjadikan tembakau sebagai punca utama kematian yang boleh dielakkan.

Jumlah itu dijangka terus meningkat, dengan WHO berhadapan lebih satu bilion kematian abad ini.

“Menjelang 2030, lebih 80 peratus kematian berlaku di negara membangun, yang menjadi sasaran syarikat tembakau untuk mencari pasaran baru untuk memintas peraturan ketat di negara maju,” katanya.

=EZY=