Categories
SASTERA

Kaabah

Oleh Daeng Ramliakil

KAABAH runtuh tiba-tiba tengah malam itu. Ranap seluruhnya?

Ya. Tapi bagaimana dan kenapa terjadi?

Tiba-tiba pancaran matahari pagi itu singgah di cermin telefon yang dipegang tangan menteri Ax itu. Si pemegang tidak tahu pun.

Hati yang memandang kehilangan kata-kata dan mulutnya terdiam. Matanya memerhati rapi.

Mengapa matahari pun ikut campur?

Dia mendongak.

Eh, awan pun.

Dengan tidak dirancang, daripada berdiri tegak, dia membongkok cepat dan beredar cepat dalam keadaan terbongkok-bongkok kerana gumpalan awan sebesar Kaabah bergerak pantas menuju ke arahnya.

Mengapa kamu awan jadi begini?

Mengapa kamu pula lari? Andai tidak bersalah, mengapa takut? Bukankah orang Melayu amat sinonim dengan akal budi filosofi berani kerana benar, takut kerana salah?

Siakap senohong masak sayur keladi, bercakap bohong, memang jadi menteri.

Eh, kata-kata siapa?

Yang berdua lagi masih berdiri dilanggar awan hingga masing-masing lemas nafas. Teraba-raba mereka. Dan kaki yang menapak di bumi pun ditari-tarikan agar dapat berjejak di dataran simen.

Hati kedua-duanya diterpa kebimbangan penuh, akal berfikir segera untuk tidakan seterusnya, takut kalau-kalau awan yang saiznya gergasi itu membawa mereka ke angkasa.

Di Mekah, pada masa yang sama, dataran tempat didirikan Kaabah sudah berlubang, manakala rupa Kaabah yang runtuh sudah tiada. Jadi debu kesemuanya. Ribuan orang yang ada di situ berkeadaan biasa, beredar dan berkira-kira menyambung tugasan seterusnya.

Ribuan juga yang tawaf sebelum terjadinya runtuhan, namun, kesemuanya berkeadaan biasa, amat biasa. Akal masing-masing mahu menerima sebarang rasional kejadian. Juga, tidak mahu dimasuki sebarang spekulasi.

Tiada seorang pun yang beraksi menyiasat, mahupun memperbaiki keadaan. Keadaan mereka bagaikan berpendirian, yang runtuh, runtuhlah. Apa boleh buat.

Takut? Tidak. Hairan? Pun tidak.

Pada masa yang sama, di kota-kota mega di dunia, Paris, Washington, Seoul, Tokyo, Beijing dan London, jutaan manusia menghadap tv. Wartawan paling sibuk menjadi panel menyatakan komentar dalam bahasa masing-masing. Malah, sudah beratus orang mengadakan liputan dari lokasi kejadian.

Tiga lelaki Melayu yang sedang bercakap-cakap singkat sudah pun ditawan awan, termasuk seorang yang lari terbongkok-bongkok. Tahu-tahu, mereka berada di dataran pintu Abduaziz, pintu pertama.

Terdiri sahaja di situ, awan terangkat sebaik sahaja kaki lelaki bertiga itu jejak di atas dataran yang kehitaman. Mata mereka terbeliak dan pandangan bersilih ganti antara memandang keadaan tempat Kaabah sudah berlubang dan lohong, juga memandang awan yang agak cepat mengangkat diri sendiri ke langit.

Belum pun mereka bersuara, tahu-tahu tangan masing-masing sudah membuka kancing butang baju, cepat dan menanggalkan baju, berikutnya seluar panjang hingga tinggal seluar pendek.

Baju dan seluar panjang sudah berlonggok di atas dataran, mendekati kaki. Berselang seminit, mereka bertiga yang masih tercegat di situ mencapai baju dan seluar lalu mengelap keringat yang sudah memercik di seluruh jasad.

Hati mereka seakan-akan berpakat terkata-kata: mengapa selain mereka, tiada yang terpaksa menanggalkan pakaian dan mengelap badan yang berpeluh?

Tahu-tahu, setengah jam mereka berkeadaan sama – mengelap peluh puluhan kali. Hati mereka terus terisi kata-kata yang sukar dijawab waima diri sendiri.

Tidak pula mereka lupa, mencelahi pertanyaan dengan beratus doa yang dihafal yang diajarkan oleh ribuan pendakwah Melayu yang sejak berdekad menguasai aneka jenis media, daripada tv, akhbar, majalah, hinggalah Facebook, Youtube, Twitter, malah ratusan juga menjual produk dan program yang boleh dibeli dengan mudah, selagi ada wang.

INFO HADIAH SASTERALiputan yang dilakukan oleh ratusan wartawan bukan Arab dan dipancarkan terus-menerus ke serata pelosok negara masing-masing, seperti biasa, bersifat telus, saintifik dan akur pada ciri standard pemberitaan yang tiada unsur propaganda, mahupun menyembunyikan realiti.

Ribuan jugalah mahaguru yang bertugas di varsiti negara-negara yang mementingkan nilai humaniti mengemukakan saranan segera kepada ngo dan ketua kerajaan masing-masing akan tanggungjawab sosial yang bersifat segera dan semasa, juga untuk jangka panjang.

Segerakan pasukan perubatan, biar lengkap dengan ubatan dan peralatan. Demikian ayat standard yang disalurkan ke pejabat perdana menteri, presiden mahupun ketua menteri disampaikan oleh ribuan mahaguru negara-negara Switzerland, New Zealand, Sweden, Denmark, Jerman dan Canada.

Malah, ratusan pasukan doktor, farmasis, psiaktris dan kaunselor terbentuk di negara-negara berkenaan. Demikian, laporan wartawan tv. Dan, direalisasikan pihak-pihak kerajaan, swasta dan varsiti juga ngo pada hari yang sama.

Tiga orang lelaki Malaysia menjadi saksi petang dan malam itu. Ratusan pasukan pakar pembantu sudah berada di lokasi dan bertungkus-lumus membantu mangsa runtuhan dan tragedi.

Hati seorang lelaki itu dimasuki ayat emosi: amat hairan. Tiada pun pasukan dari negara yang majoriti warganya seagama denganku.

Hati rakannya turut diresapi kata-kata, bermaksud: adakah ruh Islam malah, ruh agama pun sudah tercabut dari negara-negara yang para pendakwah paling sibuk setiap hari, dan akibat realitinya sudah dapat dilihat mata? Atau, para syaitan sudah ada di mana-mana di negara-negara itu kerana jumlah manusia sebenar sudah tinggal sekitar satu peratus?

Kaabah sudah benar-benar merajuk. Demikian kesimpulan metafora yang disengajakan sebutannya oleh para wartawan dalam bahasa masing-masing.

Dengan kalimat itu sahaja, deraian air mata mengalir di pipi berjuta rakyat negara terbabit yang menonton tv, sekalipun mereka meneruskan tugasan seharian.