Categories
NASIONAL

554 kes kemalangan anggota kesihatan sejak dua tahun

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kesihatan melaporkan 554 kes kemalangan ulang alik direkodkan membabitkan anggota kesihatan pelbagai kategori yang berkhidmat di hospital di bawah kementerian itu, sejak 2014 hingga 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kemalangan tertinggi membabitkan jururawat iaitu 295 kes diikuti pembantu perawatan kesihatan (91), kategori jawatan lain (52), penolong pegawai perubatan (35), pemandu (31) dan pembantu penyediaan makanan (15).

“Akhir-akhir ini kemalangan jalan raya dalam kalangan doktor perubatan mendapat perhatian ramai terutama bagi kemalangan ulang alik. Kemalangan membabitkan pegawai perubatan ini adalah 35 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor BERNAMA.

Terdahulu, akhbar melaporkan doktor yang bertugas di hospital kerajaan mengalami letih keterlaluan akibat bekerja lebih masa dan mengakibatkan mereka terdedah risiko kemalangan jalan raya.

Dr_hishamDr Noor Hisham berkata, 69 kes direkodkan membabitkan kemalangan ketika pulang dari tempat kerja selepas bekerja di luar waktu pejabat antaranya jururawat (47) dan pegawai perubatan (8) untuk tempoh sama.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes itu yang dipercayai berlaku akibat memandu dalam keadaan penat dan mengantuk selain tidur tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya adalah lumrah bagi anggota kesihatan yang bertugas di hospital di bawah Kementerian Kesihatan bekerja di luar waktu kerja biasa kerana ia menawarkan perkhidmatan berterusan, selama 24 jam.

“Terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk kakitangan, selain peruntukan sedia ada berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada anggota kesihatan berdasarkan budi bicara ketua jabatan dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua anggota kesihatan mengambil berat keselamatan diri dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat terutama selepas tugasan diselesaikan.

“Jika kelesuan atau mengantuk, mereka disarankan mengambil masa untuk berehat atau tidur sebentar sebelum memandu supaya selamat tiba ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian itu akan berganding bahu dengan agensi berkaitan antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai langkah pencegahan kemalangan.