Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil ICU hospital seluruh negara bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan serta 11 negeri lain adalah di bawah 50 peratus setakat 20 Feb, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata negeri-negeri itu adalah Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Perak; Selangor; Negeri Sembilan; Pahang; Terengganu; Kelantan; Sabah dan Sarawak.

“Katil ICU yang disediakan di Putrajaya adalah enam dan hanya mencatatkan satu penggunaan manakala bagi Labuan sebanyak tujuh katil disediakan dan tidak mencatatkan sebarang penggunaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara negeri yang mencatat kadar peratusan penggunaan katil ICU yang rendah ialah Negeri Sembilan iaitu lapan peratus; Sarawak (13 peratus); Pahang (14 peratus); Kedah (15 peratus); Putrajaya (17 peratus); dan Terengganu (20 peratus).

Beliau berkata secara keseluruhan, Kementerian Kesihatan mendapati kapasiti fasiliti kesihatan di hospital awam masih boleh menampung kes COVID-19 dan bukan COVID-19.

Namun begitu, setiap negeri telah bersiap siaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes, katanya sambil memberitahu tiga negeri menunjukkan peratusan penggunaan katil ICU lebih 50 peratus iaitu Johor (70 peratus); Kuala Lumpur (65 peratus); dan Melaka (50 peratus).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 26,832 kes COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif kepada 3,221,680 dan daripada jumlah kes baharu itu, 1,438 kes dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata bagi kes baharu, 133 daripadanya adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 26,699 terdiri daripada kategori satu dan dua.

“Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19,” katanya.

Mengenai kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 18,459 kes dilaporkan semalam menjadikan kes kumulatif sembuh di negara ini adalah 2,937,655.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM tidak terputus bekalan ubat rawat Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Bekalan ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan Covid-19 meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Menurutnya, permintaan dalam negara meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik Covid-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan Covid-19 di hospital awam.

“KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

“Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

Bagaimanapun, katanya, KKM mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

KKM juga, katanya, melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan Covid-19.

“KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

“Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan Covid-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes Covid-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP 2.0 tidak gagal – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 8 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan secara berfasa di beberapa negeri bermula 13 Januari lalu tidak gagal.

Sebaliknya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes Covid-19 boleh mencecah 10,000 sehari jika perintah tersebut tidak dikuatkuasakan.

“KKM jangka kes menurun pada Mei, namun selepas kelonggaran kepada banyak sektor ekonomi dan sosial serta kelesuan pandemik, kes kembali meningkat. Awal Mei, kes kembali 3,000 sehari,” katanya menerusi sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kebanyakan kes ketika ini adalah sporadik dalam komuniti tanpa mengetahui punca jangkitan dan jumlah kes lebih tinggi berbanding kluster.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 14 kluster rentas negeri yang aktif ketika ini.

“Ada kluster ini dijangkiti varian Afrika Selatan B1351 (dan) kerana itu rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir tiga juta daftar suntik vaksin Covid-19, Selangor tertinggi

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Seramai 2,990,577 individu telah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera setakat jam 8 pagi ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdulllah menerusi infografik di Twitter rasmi beliau pagi ini memaklumkan sejak pendaftaran vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dibuka pada 24 Februari lepas, Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi seramai 991,181.

Ia diikuti dengan Johor 335,537 individu, Kuala Lumpur (292,983) dan Sarawak 240,630.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan seramai 127,608 telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di seluruh negara, setakat 6 Mac.

Memperincikan pecahan jumlah penerima vaksin dos pertama tertinggi mengikut negeri, Sarawak mencatatkan 18,034 penerima, diikuti Pahang (13,830), Selangor (11,982) dan Kuala Lumpur seramai 11,266.

Pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera merupakan antara lima kaedah pendaftaran yang disediakan kerajaan untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dalam negara.

Selain aplikasi MySejahtera, satu lagi kaedah secara dalam talian ialah melalui laman sesawang khas www.vaksincovid.gov.my manakala bagi pendaftaran secara manual, orang ramai boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah saringan Covid-19 ikuti tanda aras WHO

PUTRAJAYA, 16 FEB: Jumlah saringan Covid-19 bagi ujian RTK-Antigen dan RT-PCR yang dilakukan di seluruh negara masih berdasarkan tanda aras yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bercakap pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan tanda aras analisis ditetapkan ialah antara 10 hingga 30 kes negatif bagi setiap kes positif.

“Tanda aras kita adalah setiap kes yang positif kita perlukan sekurang-kurangnya 10 kes yang negatif jadi kalau kita laporkan sejumlah 2,176 kes positif Covid-19 semalam sepatutnya tanda aras kita 21,760 kes tapi semalam kita berjaya jalankan 41,895 ujian RT-PCR dan RTK-Antigen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini ada 23 makmal swasta dan 13 makmal di universiti yang menjalankan analisis sampel ujian.

Pada masa sama, musim sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini antara faktor jumlah saringan berkurangan ekoran makmal swasta kurang menjalankan ujian saringan Covid-19 kerana jumlah sumber manusia yang terhad dan jumlah orang ramai yang hadir juga menurun.

“Tambahan pula apabila ujian dijalankan yang positif dilaporkan manakala negatif adakalanya tidak dimasukkan dalam sistem lagi iaitu negatif tidak diberi keutamaan untuk dimasukkan ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Jadi, ia seolah-olah menunjukkan jumlah kes iaitu RT-PCR berkurangan, bagaimanapun kalau kita lihat kes RTK Antigen masih meningkat iaitu hampir 25,000 ujian yang dijalankan,” katanya sambil menambah purata ujian RTK Antigen dan RT-PCR adalah hampir mencecah 41,000.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau tahap kesihatan bekas pesakit Covid-19 dengan melakukan pemantauan jangka pendek, sederhana dan panjang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Johor catat kadar kebolehjangkitan tertinggi – KKM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Johor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.18 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Kuala Lumpur merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.12, diikuti Labuan (1.11), Terengganu dan Selangor masing-masing mencatatkan 1.10 manakala Sarawak (1.03) dan Pahang (1.01).

Negeri-negeri lain mencatatkan bacaan di bawah satu iaitu Perak 0.99, Melaka (0.96), Kedah dan Pulau Pinang (0.93), Putrajaya (0.90), Negeri Sembilan dan Sabah (0.89), Perlis (0.82) dan Kelantan (0.84).

Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.09, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Genting tercetus selepas kes indeks rentas negeri – KKM

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Kluster Genting yang dikenal pasti baru-baru ini tercetus apabila kes indeks, iaitu seorang warga asing dari Bangladesh merentas negeri ke Genting Highlands, Pahang untuk melawat rakan-rakannya, seterusnya menjangkiti mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes indeks merentas dari Selangor ke Genting Highlands, Pahang.

“Kluster Genting dikenal pasti iaitu kes indeks seorang warga asing Bangladesh merentas sempadan negeri dari Selangor ke Genting Highland, melawat dan menjangkiti rakan-rakan.

“PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dikuatkuasakan di Amber Court, Ria Apartment dan Rumah Kongsi Kg Semaut,” katanya menerusi Twitter rasminya hari ini.

Pada 4 Disember lepas, Dr Noor Hisham memaklumkan kluster itu dilaporkan dikesan di Kuala Lumpur dan Pahang yang melibatkan Daerah Titiwangsa juga Bentong apabila kes indeks (kes ke-66878) dilapor positif pada 1 Disember hasil saringan tempat kerja.

Susulan itu, pada 9 Dis, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di ketiga-tiga kawasan membabitkan Apartmen Amber Court, Apartmen Ria dan Rumah Kongsi Kampung Semaut di Bentong, Pahang mulai 10 hingga 23 Disember ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar guna katil rawat pesakit Covid-19 di Sabah 71 peratus

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Sebanyak 71 peratus kadar penggunaan katil direkodkan di sembilan hospital yang merawat pesakit Covid-19 membabitkan 723 pesakit di Sabah setakat 13 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di 19 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula menempatkan sebanyak 4,161 katil dengan kadar penggunaan 23 peratus.

“Setakat ini, kadar penggunaan 1,018 katil di sembilan hospital Covid-19 di Sabah adalah 71 peratus. Kadar penggunaan bagi katil ICU (Unit Rawatan Rapi) adalah 110, iaitu bersamaan 57 peratus.

“Jadi bagi mengurangkan beban di hospital, kes-kes Covid-19 kategori satu dan dua iaitu yang tiada gejala atau gejala ringan, kami akan tempatkan mereka di 19 PKRC manakala kes tahap tiga, empat dan lima akan ditempatkan di sembilan hospital di Sabah.

“Kami akan memantau dengan lebih mendalam lagi dan teliti untuk melihat perkembangan kes. Sekarang ini, kami melihat kepada keperluan ventilator. Kami ada 180 ventilator di Sabah dengan penggunaan hanya 30 peratus,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Memperincikan jumlah katil di sembilan hospital di Sabah, Dr Noor Hisham berkata bagi Hospital Queen Elizabeth, sebanyak 324 daripada 684 katil dikhaskan untuk pesakit Covid-19 dengan bilangan pesakit terkini ialah 237 atau 73 peratus.

Bagi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah di Likas, jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 110 melibatkan 105 pesakit setakat ini iaitu pengisian sebanyak 95 peratus.

“Untuk Hospital Tawau, jumlah katil adalah 413, dan jumlah katil untuk pesakit Covid-19 ialah 214. Bilangan pesakit Covid-19 sekarang ini 178 dengan pengisian ialah 83 peratus.

“Hospital Duchess of Kent, Sandakan mempunyai 389 katil dan jumlah katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 ialah 164, dan bilangan pesakit setakat ini ialah 87, iaitu pengisian 54 peratus,” katanya.

Selain itu, Hospital Lahad Datu memperuntukkan 131 daripada 226 katil untuk pesakit Covid-19 dengan pengisian 92 pesakit (70 peratus) setakat ini, manakala Hospital Keningau dengan 18 pesakit (51 peratus) pengisian katil untuk pesakit Covid-19.

Bagi Hospital Kota Marudu dan Hospital Semporna masing-masing mencatatkan kadar pengisian katil sebanyak 25 peratus selain Hospital Kudat yang hanya mempunyai satu pesakit daripada dua katil yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB perlu untuk putus penularan Covid-19 di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun kes baharu dicatatkan kurang dari 100 setiap hari, ia berselerak dan mula menular di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta semua daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

Kerajaan tidak boleh hanya melihat dan menunggu zon kuning menjadi merah untuk melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya pada sidang media secara maya yang disiarkan di Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan penilaian risiko sama ada teruk atau tidak bukan hanya bergantung kepada kes positif seharian tetapi juga perlu melihat kepada corak penularan jangkitan dalam sesebuah negeri.

“Jadi sekiranya penularan jangkitan hanya tertumpu kepada satu atau dua daerah sahaja, pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar mungkin boleh dilaksanakan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan jangkitan menular setiap daerah dalam negeri dan terus mencatat kes baharu secara berselerak di Selangor dan Lembah Klang (Kuala Lumpur dan Putrajaya), ini bermakna penularan jangkitan ini tidak dapat lagi dibendung dengan berkesan,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata Sidang Khas MKN bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan COVID-19 seperti di Klang, daerah Petaling serta Gombak.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan PKPB itu juga bagi memutuskan penularan jangkitan rentas negeri secara lebih berkesan selepas mengambil kira kesukaran kawalan sempadan bagi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ini adalah tindakan lebih proaktif dan berkesan terutama dalam memastikan keupayaan kesihatan awam kita dapat dirancang sebaiknya.

“Pelaksanaan perintah ini merupakan tindakan pencegahan amat penting untuk dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sebelum ia menular ke seluruh negeri dan negara,” katanya.

Mengulas mengenai amaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap penggunaan sekatan pergerakan sebagai kaedah utama untuk mengawal virus kerana ia mungkin memberi kesan kepada kemiskinan, Dr Noor Hisham menjelaskan tindakan yang diambil kerajaan bukanlah sekatan pergerakan sepenuhnya.

“Kami longgarkan dari segi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kami benarkan sektor ekonomi berfungsi tetapi kami menyekat pergerakan untuk sosial, pendidikan serta sukan.

“Saya rasa adalah penting bagi kita untuk membuat keputusan, keputusan yang tepat supaya kita dapat mengimbangi kehidupan dan mata pencarian, inilah yang kami lakukan sekarang dan kami berharap tindakan ini akan membuahkan hasil dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dan kami akan terus memantau keadaan ini dengan teliti,” katanya.

Mengenai sama ada pekerja terutama yang berurusan secara terus dengan orang ramai perlu melakukan ujian swab susulan beberapa kes melibatkan pekerja di pusat beli-belah yang positif Covid-19, Dr Noor Hisham berkata tatacara operasi piawai sebelum ini adalah terpakai, dan majikan digalakkan menghantar pekerja mereka untuk saringan dari semasa ke semasa.

“Petugas kesihatan, barisan hadapan misalnya dan agensi berkaitan sememangnya menjalankan saringan tempat kerja dari semasa ke semasa, selain daripada saringan petugas dikenali sebagai kontak rapat.

“Apa yang penting ialah Kementerian Kesihatan dan petugas kesihatan akan menjalankan penilaian risiko di kedai-kedai…kami akan laksanakan saringan nyah cemar dan nyah kuman,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perjuangan barisan hadapan di Sabah capai tahap kritikal – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyifatkan perjuangan petugas barisan hadapan dalam menentang pandemik Covid-19 di Sabah kini mencapai tahap kritikal.

Beliau berkata beberapa strategi dan pendekatan akan diambil untuk memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan di negeri itu.

“Strategi kami berdasarkan kepada pemantauan komuniti, pengesanan kontak dengan mencari, menguji, mengasing dan merawat semua individu yang dijangkiti serta memutuskan rantaian jangkitan seterusnya dengan memperketat sempadan negeri dan daerah,” katanya menerusi hantaran Twitter, hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 561 kes baharu di negara ini dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, sebanyak 488 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dinobat tokoh Maal Hijrah 2020

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah, pada sambutan di Masjid Negara, malam ini.

Syeikh Al-Azhar Al-Syarif Syeikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula, diumum Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli berkata pemilihan kedua-dua tokoh tersebut dibuat atas sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam, di peringat nasional dan global.

Malah kedua-dua tokoh terbabit mendapat pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Penganugerahan itu menyaksikan kedua-dua tokoh terbabit masing-masing, menerima pingat dan sijil penghargaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan anugerah berkenaan pada majlis itu.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Noor Hisham: Asean perlu bekerjasama kawal Covid-19, minimumkan kesan

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Negara-negara anggota Asean, termasuk Malaysia perlu bekerjasama dalam menangani penularan pandemik COovid-19 dan meminimumkan kesan sosio-ekonomi kepada negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebook beliau hari ini berkata kesan penularan pandemik yang meluas itu melepas sempadan negara, menjadikan kerjasama untuk membanterasnya di peringkat serantau perlu dibina menerusi rundingan dengan wilayah serantau.

“Tiada jalan pintas untuk keluar daripada pandemik ini, dan melihat kepada kadar pembangunan vaksin Covid-19 ketika ini, satu komuniti berdaya maju, yang mengambil sikap mengatur langkah untuk memelihara kepentingan antara satu sama lain, amat kritikal untuk mengawal pandemik ini.

“… dalam Asean, kita perlu memiliki standard bersama, dan mengelak duplikasi. Bersama kita berdiri teguh di rantau ini untuk menghadapi hari esok dalam keadaan lebih bersedia,” katanya.

Beliau turut menggesa negara anggota Asean untuk mejadikan keadaan semasa sentiasa berada dalam kawalan – dari segi sains mendahului politik, perkembangan sains lebih rancak dari politik; di samping terus meningkatkan komunikasi strategik dan melahirkan masyarakat yang mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata demikian semasa sesi webinar bertajuk “How Can Asean Bounce Back: Fostering Public Health Safety & Economic Resilience for a Borderless Community in Asean” anjuran Institut Penyelidikan Asean CIMB (Cari).

Perbincangan berkisar kepada pengurusan Malaysia mengenai pandemik Covid-19, kerjasama dengan ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam menangani Covid-19, di samping cara bagaimana mengimbangi antara kesihatan awam dan survival ekonomi.

-BERNAMA