Categories
KENYATAAN MEDIA

BN lulus kilang sawit, penduduk derita bau busuk

OLEH DATO’ SERI DR SANTHARA

Kewujudan kilang sawit di sempadan Jementah dan Kebun Baharu, Johor telah mengakibatkan pencemaran udara sehingga menimbulkan rasa kurang senang terhadap penduduk setempat.

Penduduk sekitar terpaksa menghadapi masalah bau busuk khususnya waktu pagi dan selepas hujan kerana jarak kilang dari jalan utama dan rumah penduduk lebih kurang 500 meter sahaja.

Setelah satu bantahan penduduk bersama pimpinan Pakatan Harapan Johor diadakan pada 10 Jun lepas, saya dimaklumkan bahawa Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Subramaniam telah mengarahkan penutupan kilang tersebut serta-merta selama sebulan.

Saya difahamkan pihak pengurusan kilang telah bersetuju untuk mengadakan sesi perbincangan secara bersama dalam masa terdekat. Apa yang saya mahukan ialah wakil-wakil yang terlibat mestilah mereka yang terdiri daripada pimpinan kerajaan, pimpinan pembangkang, Majlis Perbandaran dan wakil komuniti di Jementah.

Masalah utama setelah pembinaan kilang ini wujud adalah lebih membawa kesan negatif apabila berlakunya pencemaran alam sekitar yang berkemungkinan menjadi lebih serius dan menjejaskan kesihatan penduduk.

Mungkin setelah tiada jalan penyelesaian diperolehi, penduduk terpaksa menanggung penderitaan seperti mendapat penyakit kulit manakala kanak-kanak pula sering batuk dan selsema akibat menghidu udara yang tercemar.

Saya menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri untuk menyiasat aduan yang telah dibuat oleh penduduk akibat pencemaran air longkang dan parit yang dipercayai berpunca daripada kilang kelapa sawit tersebut.

Bukankah amalan pertanian dan pemprosesan sawit di negara ini dikawal ketat oleh beberapa badan kerajaan di mana ianya tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan akta-akta tertentu.

Saya berharap pihak pengurusan kilang dapat menghentikan operasinya sehingga penyelesaian jangka panjang dicapai dan segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan dan bukannya mengutamakan keuntungan sebelah pihak sahaja.

# Dato’ Seri Dr Santhara adalah Pengerusi Biro Integrasi Nasional KEADILAN