Categories
KENYATAAN MEDIA

Cuti Paterniti CIMB bentuk keharmonian keluarga

OLEH: ANFAAL SAARI

AWAN Nasional mengucapkan tahniah kepada CIMB Bank Bhd atas inisiatif progresif dengan memperkenalkan cuti paterniti bergaji daripada tiga hari kepada sebulan untuk golongan bapa yang turut bertepatan dengan sambutan Hari Bapa pada 18 Jun lalu.

Langkah ini wajar dipuji kerana membantu menyediakan masa yang lebih panjang kepada golongan bapa untuk meringankan beban isteri yang memerlukan sokongan emosi dan tenaga selepas melahirkan bayi.

Selain itu, golongan bapa juga boleh menunaikan tanggungjawab menguruskan bayi dengan lebih sempurna yang mana akan membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih erat.

Difahamkan cuti baharu ini sebahagian daripada Program Peremajaan Kakitangan untuk mengukuhkan dasar kesaksamaan gender yang dilaksanakan oleh CIMB.

AnfaalWalau bagaimanapun, kami juga ingin mengingatkan golongan bapa supaya tidak menyalahgunakan cuti yang diberikan ini untuk melakukan aktiviti yang tiada kaitan dengan keluarga. Manfaatkan nikmat cuti yang disediakan ini bagi membina keluarga yang lebih harmoni dan sejahtera.

Tahun ini, nampaknya industri perbankan meriah dengan pelbagai dasar yang lebih cenderung mementingkan kebajikan kakitangan walaupun masih terdapat beberapa perkara boleh didebatkan.

Kami berharap agar langkah yang sama boleh diambil oleh kerajaan serta industri yang lain dengan penambahbaikan dasar yang berterusan.

 

* ANFAAL SAARI adalah Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional