Categories
AGENDA NASIONAL

CIMB, AirAsia tarik diri sebagai penaja Liga Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Dua syarikat swasta iaitu CIMB dan AirAsia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan penajaan bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata mereka menghormati keputusan kedua-dua syarikat berkenaan untuk tidak menyambung penajaan namun menegaskan perancangan bagi menghadapi Liga-M 2021 tetap berjalan seperti biasa.

Beliau memaklumkan MFL telah mengadakan pertemuan dengan wakil CIMB beberapa hari lepas berhubung isu penajaan dan mereka masih menunggu surat rasmi daripada bank berkenaan berhubung penamatan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani mengesahkan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia (TM) terus komited menjadi penaja utama Liga-M 2021 menerusi perjumpaan yang diadakan antara beliau, Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin bersama wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Ab Ghani turut memaklumkan pengeluar minuman isotonik iaitu F&N 100Plus bersetuju meneruskan penajaan dalam bentuk barangan sahaja tanpa melibatkan tajaan secara tunai seperti musim lalu, manakala status Shopee selaku penaja masih berada di peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

Sementara itu, beliau mengesahkan bahawa MFL sedang mengadakan rundingan dengan beberapa penaja baharu yang menyatakan minat untuk menjadi penaja Liga-M musim hadapan.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga-M 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” jelas Ab Ghani.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelanggan digesa hubungi CIMB jika perlu lanjutan moratorium

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: CIMB menggesa para pelanggannya yang memerlukan bantuan kewangan selanjutnya untuk menghubungi bank itu secepat mungkin sebelum tempoh moratorium pinjaman selama enam bulan berakhir pada Rabu ini.

Menurut bank itu, ia mula menghantar surat, pemberitahuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel untuk memberi peringatan mengenai pembayaran semula bermula Oktober ini kepada semua peminjam yang belum menghubungi pihaknya.

“Peminjam yang memohon pelepasan itu atau menerima tawaran penstrukturan semula dan penjadualan semula (R&R), tidak akan menjejaskan status Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak awal Ogos, bank itu secara proaktif melibatkan 380,000 individu dan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk terjejas teruk akibat impak pandemik Covid-19.

“Seterusnya, CIMB meluluskan program bantuan kewangan bersasar (TAP) CIMB bernilai hampir RM7 bilion dan bantuan kewangan yang lain kepada lebih 40,000 pelanggan individu, dengan kadar kelulusan menghampiri 100 peratus.

“CIMB turut meluluskan TAP bernilai lebih RM2.5 bilion kepada PKS, hampir RM700 juta di bawah Kemudahan Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) dan kemudahan bantuan tambahan hampir RM400 juta menerusi bank kami sendiri serta komited sepenuhnya untuk menyokong skim pembiayaan daripada kerajaan kepada PKS bernilai RM1 bilion di bawah Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara),” kata bank itu.

Pelanggan terjejas yang belum menghubungi bank itu boleh berbuat demikian atau melawat mana-mana cawangan atau pusat pembiayaan auto CIMB untuk pertanyaan mengenai pilihan bantuan kewangan, termasuk tawaran R&R.

Pelanggan PKS boleh menghubungi https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, SME Bank dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menawarkan lanjutan bersasar bagi moratorium dan bantuan kepada hampir semua pelanggan yang layak di bawah Program Kemudahan PKS (SRP) yang diumumkan pada Ogos 2020.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata program itu melibatkan 3,090 pelanggan dengan nilai pembiayaan berjumlah melebihi RM4.8 bilion yang menyasarkan pelanggan lima sektor PKS dan kategori kecil dan mikro iaitu pelancongan, pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan stesen minyak.

“Menerusi bantuan seperti program SRP, kita boleh mencapai kestabilan dalam ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam jangka sederhana dan memastikan usahawan kekal kompetitif dan berdaya tahan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata program itu menawarkan lanjutan selama 12 bulan kepada pembiayaan sedia ada dengan 66 peratus pelanggan menerima tawaran lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan 15 peratus lagi menerima pakej tidak membayar faedah selama enam bulan.

“Pelanggan yang lain diberikan kemudahan menjadualkan semula pembiayaan mereka,” katanya.

Program SRP akan bermula sebaik sahaja tempoh moratorium BNM berakhir pada Rabu ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

CIMB buka hujung minggu bantu pelanggan isu moratorium

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd akan membuka semua cawangan dan pusat pembiayaan auto di seluruh negara pada dua hujung minggu terakhir pada September, 2020 bagi menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan berikutan moratorium pinjaman enam bulan akan berakhir pada 30 September, 2020.

Semua cawangan CIMB akan beroperasi mulai jam 9.30 pagi hingga 1.00 petang pada hari Sabtu dan Ahad di kedua-dua hujung minggu tersebut manakala pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 petang pada hari Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula dari 19 September, 2020.

Dalam satu kenyataan semalam, kumpulan itu berkata pembukaan pada hujung minggu iaitu pada 19, 20, 26 dan 27 September, 2020 akan membolehkan peminjam mengadakan perbincangan untuk lebih memahami mengenai bantuan tersebut.

Ia termasuk pelanggan yang layak untuk mendaftar ke dalam Program Bantuan Bersasar CIMB (TAP) dan juga peminjam yang tidak terjejas oleh pandemik Covid-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran.

CIMB akan mengirim surat dan e-mel kepada semua peminjam yang belum menghubungi CIMB sebagai peringatan kepada mereka mengenai bayaran ansuran yang akan bermula pada Oktober depan.

Pelanggan individu yang memerlukan bantuan kewangan untuk kemudahan pinjaman/pembiayaan mereka diminta untuk mengunjungi mana-mana cawangan CIMB atau pusat pembiayaan auto dalam tempoh ini untuk mengajukan pertanyaan mengenai pilihan bantuan, termasuk penyusunan semula dan penjadualan semula (R&R), kata kumpulan itu.

Sementara itu, pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula boleh melayari https://www.cimb.com.my/frap untuk mendapatkan pilihan bantuan lain yang sedia ada.

Sejak awal bulan Ogos, CIMB secara proaktif telah menghubungi 330,000 individu dan 10,000 PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat penularan Covid-19.

“CIMB sudah berunding dan turut menasihati mereka untuk menghantar permohonan kepada pihak bank.Sejak itu, CIMB telah meluluskan TAP CIMB dan lain-lain bantuan kewangan sebanyak hampir RM5 bilion kepada lebih 25,000 orang pelanggan,” katanya.

Bagi pelanggan PKS, CIMB telah meluluskan lebih RM2.5 bilion untuk Program Bantuan Bersasar CIMB, hampir RM700 juta di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (SRF / SRF-i) dan RM300 juta untuk kemudahan bantuan tambahan (CIMB BRF / BRF -i) oleh CIMB sendiri.

CIMB juga komited sepenuhnya dalam menyokong skim pembiayaan PENJANA bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan oleh kerajaan untuk PKS.

Pelanggan dinasihati untuk menghubungi Pusat Panggilan CIMB di talian +603-6204 7788 atau e-mel [email protected] untuk berbincang secara lanjut berkenaan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh CIMB.

Pelanggan PKS pula boleh menghubungi Pusat Panggilan Perniagaan CIMB di talian 1300 888 828 (Tempatan) dan +603 2297 3000 (Luar Negara) dari Isnin hingga Jumaat dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam dan Sabtu dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang (kecuali cuti umum).

PKS dan pelanggan korporat juga boleh menghubungi Pengurus Perhubungan CIMB mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pilihan pembiayaan yang sedia ada.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.cimb.com.my/covid19support.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kakitangan CIMB cawangan Seremban positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 23 MAC: CIMB Group Holdings Bhd cawangan Seremban di Jalan Datuk Bandar Tunggal akan ditutup untuk sementara waktu selepas dua kakitangannya diuji positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB berkata kedua-dua kakitangan itu pulang ke Malaysia baru-baru ini dari Indonesia untuk urusan peribadi dan telah menjalani proses kuarantin di rumah sejak 19 Mac lepas, sekembalinya mereka ke Malaysia.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kerja-kerja penyahkuman dan pembersihan dilakukan terhadap premis cawangan tersebut,” katanya sambil menambah bahawa dua kakitangan itu kini sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.

CIMB menggalakkan para pelanggannya di Seremban untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian atau pergi ke cawangan terdekat yang terletak di Seremban 2 dan Senawang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

CIMB tawar kelonggaran pelanggan terjejas Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 FEB: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd menawarkan kelonggaran kepada pelanggan yang terjejas daripada penularan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).

Dalam satu kenyataan, CIMB berkata pelanggan perbankan konsumer yang terkesan akibat Covid-19 layak untuk penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman mereka bagi meringankan beban mereka.

Ia berkata pelanggan boleh melawat bank tersebut untuk berbincang dan menjadualkan semula pembayaran mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberi jaminan kepada pelanggan bahawa semua kes akan diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Kami berharap bahawa semua langkah yang dilakukan ini akan memberi kelegaan kepada pelanggan yang terjejas. CIMB juga mungkin akan melanjutkan tempoh pembayaran bagi pelanggan, sekiranya perlu,” katanya.

Bagi pemegang polisi insurans/Takaful, rakan kongsi bankasurans CIMB (Sun Life Malaysia Assurance Berhad, Ahd Life Malaysia Takaful Bhd dan Berjaya Sompo Insurance) juga telah mengumumkan secara rasmi bahawa mereka akan melanjutkan perlindungan mereka di bawah dasar yang sedia ada (tertakluk kepada terma dan syarat polisi) bagi pemegang polisi yang terjejas berikutan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI

Keuntungan bersih suku ketiga CIMB meningkat kepada RM1.18 bilion

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Keuntungan bersih CIMB Group Holdings Bhd meningkat kepada RM1.18 bilion dalam suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2018, berbanding RM1.13 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun, susut kepada RM4.14 bilion daripada RM4.42 bilion sebelumnya disebabkan terutamanya pendapatan operasi yang turun 6.4 peratus tahun ke tahun dberikutan penurunan pendapatan bukan faedah dan pendapatan faedah bersih masing-masing sebanyak 17.0 peratus dan 1.6 peratus.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CIMB berkata keuntungan bersih suku tersebut yang bertambah baik disumbang daripada semua segmen kecuali perbankan borong yang susut 41.7 peratus tahun ke tahun dalam semua segmen borong memandangkan pasaran modal yang lemah.

Pada masa hadapan, kumpulan perbankan itu berkata ia yakin dapat mencapai sasaran Target 18 (T18) utamanya tetapi masih berhati-hati dalam keadaan ekonomi serantau yang lemah dan ketegangan perdagangan global.

“Dalam keadaan ini, kumpulan akan terus mengawal kualiti aset dan kos dalam semua perniagaan dan geografi di samping memuktamadkan pelan separuh penggal seterusnya untuk merangsang pertumbuhan yang lebih kukuh,” kata CIMB Group.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

CIMB Plaza Azalea rai 50 anak yatim

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUN: CIMB cawangan Plaza Azalea meraikan lebih 50 anak yatim dalam majlis berbuka puasa, di sini, baru-baru ini.

Pengurusnya, Sharaini Hashim berkata, pihaknya turut menyumbangkan baju baru sempena Aidilfitri yang bakal kunjung tiba.

“Setiap tahun CIMB Islamic memperuntukkan wang tajaan bagi membantu golongan kurang mampu, termasuk anak yatim. Kami daripada CIMB Plaza Azalea bertanggungjawab mencari penerima bantuan dan menganjurkan program berbuka sebegini.

“Pada saya, ini adalah program yang cukup bagus dan sekurangnya dapat membahagiakan anak yatim sempena Aidilfitri, ditambah kita digalakkan bersedekah ketika Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim Teratak Nur Baraqah, di The Lanai Palace.

Menariknya, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi, Ezlynn yang popular dengan lagu Hai Hai Bye Bye berserta 20 kakitangan CIMB.

Kesemua anak yatim berkenaan turut membawa pulang duit dan pakaian raya sumbangan CIMB Islamic.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Cuti Paterniti CIMB bentuk keharmonian keluarga

OLEH: ANFAAL SAARI

AWAN Nasional mengucapkan tahniah kepada CIMB Bank Bhd atas inisiatif progresif dengan memperkenalkan cuti paterniti bergaji daripada tiga hari kepada sebulan untuk golongan bapa yang turut bertepatan dengan sambutan Hari Bapa pada 18 Jun lalu.

Langkah ini wajar dipuji kerana membantu menyediakan masa yang lebih panjang kepada golongan bapa untuk meringankan beban isteri yang memerlukan sokongan emosi dan tenaga selepas melahirkan bayi.

Selain itu, golongan bapa juga boleh menunaikan tanggungjawab menguruskan bayi dengan lebih sempurna yang mana akan membentuk hubungan kekeluargaan yang lebih erat.

Difahamkan cuti baharu ini sebahagian daripada Program Peremajaan Kakitangan untuk mengukuhkan dasar kesaksamaan gender yang dilaksanakan oleh CIMB.

AnfaalWalau bagaimanapun, kami juga ingin mengingatkan golongan bapa supaya tidak menyalahgunakan cuti yang diberikan ini untuk melakukan aktiviti yang tiada kaitan dengan keluarga. Manfaatkan nikmat cuti yang disediakan ini bagi membina keluarga yang lebih harmoni dan sejahtera.

Tahun ini, nampaknya industri perbankan meriah dengan pelbagai dasar yang lebih cenderung mementingkan kebajikan kakitangan walaupun masih terdapat beberapa perkara boleh didebatkan.

Kami berharap agar langkah yang sama boleh diambil oleh kerajaan serta industri yang lain dengan penambahbaikan dasar yang berterusan.

 

* ANFAAL SAARI adalah Pengarah Komunikasi Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional

Categories
EKONOMI

CIMB runding jual kepentingan firma pembrokeran kepada China

KUALA LUMPUR 25 JAN: Agensi Berita Antrabangsa Bloomberg melaporkan CIMB Group Holdings Bhd sedang berunding bagi menjual kepentingan dalam perniagaan pembrokeran kepada China Galaxy Securities Co membabitkan pertimbangan tunai sekitar AS$200 juta (RM886.57 juta).

Laporan berita Bloomberg yang memetik sumber daripada mereka yang berpengetahuan berhubung perkara itu.

CIMB yang merupakan bank kedua terbesar Malaysia dilaporkan sedang berunding untuk menjual kepentingan minoritinya dalam unit sekuriti tempatan dan sehingga 50 peratus perniagaan pembrokeran luar negara kepada China Galaxy Securities.

Bank itu menyasar mencapai persetujuan hujung Mac depan.

Kesepakatan muktamad belum dicapai, dan perincian tertakluk kepada perubahan, demikian menurut sumber.

CIMB Oktober lalu berkata, ia menerokai menjalin pakatan strategik dengan China Galaxy Securities berhubung perniagaan pembrokeran saham dan akan mengenal pasti bidang kerjasama lanjut.

=EZY=

Categories
NASIONAL

MPSJ biak nyamuk Toxo atasi populasi Aedes

toxo2

toxo 5SUBANG JAYA, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melepaskan nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo) dewasa di hutan Pangsapuri Sri Tanjung, USJ 16 di sini, bagi mengurangkan populasi nyamuk Aedes.

toxo1

Program Kawalan Pembiakan Aedes dan Pencegahan Demam Denggi itu dibuat dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang memperuntuk RM60,000 bagi menjayakan program itu.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata pangsapuri itu lokasi kedua selepas Kampung Sri Aman berikutan populasi nyamuk Aedes didapati tinggi antara 500 ke 700 jentik-jentik setiap bulan.

Beliau berkata, perbincangan antara MPSJ dan USM mengenai pemilihan tapak baru itu diadakan Mei lalu selepas pra-kajiannya dijalankan sekitar Jun.

toxo3“Habitat nyamuk Toxo sesuai kerana pangsapuri itu ada tumbuhan subur yang menghasilkan madu bagi menggalakkan pembiakan Toxo.

“Diharapkan ia memberi impak positif antara lima hingga enam bulan akan datang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program berkenaan, hari ini.

Asmawi menasihati orang ramai menjaga kebersihan dan bekerjasama memelihara tumbuhan hijau di pangsapuri itu bagi menggalakkan pembiakan nyamuk Toxo.

Katanya, Jabatan Kesihatan MPSJ mahu memperluas program pelepasan nyamuk itu ke kawasan lain bagi mencegah wabak denggi.

“Kita jadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menggunakan kaedah pencegahan secara biologi untuk mencegah pembiakan Aedes tanpa perlu menggunakan bahan kimia,” katanya.

toxo

Categories
NASIONAL

Tanpa ‘CIMB’, BN Sudah Tumbang

zunar kongres ke 9 PKR 01

PETALING JAYA 25 MEI: Tanpa bantuan dan sokongan ‘CIMB’ berkemungkinan besar Barisan Nasional (BN) sudah tumbang dan hanya akan memperolehi 30 peratus sahaja undi popular, tegas kartunis politik Zulkiflee Anwar Haq atau Zunar.

“CIMB! ya rakyat perlu tolak C-Cambodia, I-Indonesia, M-Mynamar dan B-Bangladesh,” katanya yang diikuti gelak tawa para perwakilan.

Beliau berkata demikian dihadapan kira-kira 2,070 perwakilan dan pemerhati dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini sambil meminta rakyat menolak ‘CIMB’.

Beliau yang dijemput khas untuk memberi ucapan di dalam kongres pada mulanya membuatkan para hadirin tercengang sebaik menyebut rakyat harus tolak ‘CIMB’.

Tegasnya dalam sejarah perjuangan tidak ada sebuah kerajaan boleh bertahan tanpa sokongan majoriti rakyatnya.

“BN sedang menghadapi barah tahap ke-empat di mana hanya menunggu untuk dibedah dan disemadikan,” kata Zunar.

Beliau bersama-sama barisan kartunis berjuang secara kreatif melalui kartun untuk menumbangkan kerajaan BN.

“Kenapa kita berjuang dengan kartun, sebab kerajaan sekarang adalah kerajaan kartun yang menyamar sebagai manusia.

“Kita banyak gunakan karikatur yang gelak berguling-guling sebab lepas gelak kita akan gulingkan kerajaan BN,” katanya beliau.

Categories
SELANGOR

Warga Shah Alam Bayar Cukai Melalui ‘MyMobile’

MB MY Mobile 01

SHAH ALAM, 15 APRIL : Bagi memudahkan pembayaran cukai taksiran, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan aplikasi ‘MyMobile’ yang menggunakan telefon mudah alih tanpa perlu ke kaunter.

Melalui aplikasi ini, pemilik harta khususnya di Shah Alam hanya perlu mendaftar di portal institusi kewangan, CIMB Bank Berhad di www.cimbclicks.com.my.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sambil diiringi Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Atan di Dewan Jubli Perak sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan.

“Sistem bayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yg digabungkan dengan CIMB di mana pengguna boleh mengakses kepada pembayaran kewangan CIMB yang dibuat melalui telefon.

“Pemilik harta yang mempunyai akaun CIMB boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menyelesaikan bayaran cukai taksiran kepada pihak MBSA,” kata Abdul Khalid dalam sidang media.

Dalam majlis sama, Abdul Khalid turut melancarkan ‘Shah Alam City Council Industrial Directory 2013’ berkaitan sektor perkilangan yang diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC).

Menurut Abdul Khalid, penerbitan buku ini bertujuan sebagai rujukan kepada bakal pelabur dan pelabur sedia ada untuk mendapatkan maklumat mengenai kilang yang beroperasi di Shah Alam.

Katanya, direktori ini juga boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk memulakan pelaburan di bandaraya Shah Alam.

“Hampir 7,000 pelabur direkodkan dan dimasukkan tempat operasi mereka seterusnya dibukukan supaya ia menjadi punca maklumat kepada mana-mana pihak yang ingin membuat hubungan dengan pengilang tersebut.

“Direktori ini sangat berguna dan menjadi bahan untuk kita mengiklankan kepada pelabur dalam dan luar negara tentang pelaburan yang sudah berlaku dan beberapa kawasan yang boleh mereka tumpukan sebagai alat kluster dalam industri,” katanya lagi.