Categories
SELANGOR

Elizabeth gesa Noh profesional, jangan suka fitnah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JUN: Tuduhan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berhubung tapak pelupusan sampah haram di Sungai Merab, Sepang ternyata tidak berasas dan berniat jahat.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, Unit Bencana Negeri sudah menyelaras dan membantu bomba di tapak berkeluasan tiga ekar itu sejak Mei lalu.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Seramai 80 pegawai terlibat dalam operasi ini dan RM360,000 dibelanjakan menyewa jentera, pam, kemudahan tandas bergerak, mesin penggali dan bahan pemadam khas PeatFireX.

Sampah Haram“Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) juga sudah membuka kertas siasatan dan diserahkan kepada kepada Kamar Peguam Negara untuk semakan bagi membuat dakwaan ke atas pemilik tanah.

“Pada 26 Mei lalu, Operasi Bersepadu ditamatkan namun sehingga hari ini (semalam) Unit Bencana Negeri masih memantau keadaan di sana setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Elizabeth berkata, tiada pembuangan sampah berlaku di tapak berkenaan sejak Mei lalu tetapi pada 3 Jun lalu terdapat sisa pembakaran bawah tanah berlaku namun berjaya dikawal dan dipadam agensi terlibat.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah merangka penyelesaian jangka pendek dan panjang termasuk pengeluaran Borang 7A kepada pemilik tanah bagi mewajibkannya membersih dan memulihkan keadaan lot berkenaan.

“Jika pemilik tanah enggan bertindak, Kerajaan Negeri akan merampas tanah lot itu selain pada masa sama berharap Pejabat Peguam Negara membawa kes ini ke mahkamah secepat mungkin,” katanya.

elizabeth-wong-2Elizabeth turut menasihati Noh untuk merujuk Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemulihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berhubung isu tapak pelupusan sampah haram bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga menasihatkan Noh untuk mengubah sikapnya yang terlalu suka memfitnah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Beliau perlu bertindak dengan lebih profesional sesuai dengan statusnya sebagai seorang menteri kabinet,” katanya.

Pada 7 Mei lalu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dilapor menempelak Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa berdiam diri berhubung isu tapak pelupusan sampah haram itu.