Categories
NASIONAL

Semak semula sistem pendawaian elak litar pintas

PASIR MAS, 9 JUN: Pusat pengajian pondok yang beroperasi melebihi tempoh 10 tahun disaran menyemak kembali sistem pendawaian masing-masing, kata Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan, Datuk Ir Md Yuslan Md Yusof.

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini terutama membabitkan litar pintas ekoran kebocoran pada wayar elektrik.

“Kita sedia memberi khidmat nasihat kepada mana-mana pusat pengajian pondok yang ingin membuat pendawaian semula tempat tinggal pelajar bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Jika ingin menggunakan khidmat kontraktor, pengurusan pondok diminta menyemak sama ada kontraktor itu berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi mengelak mereka menggunakan khidmat tidak bertauliah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan TNB Tahun 2017/1438H peringkat Kelantan, lapor BERNAMA.

Kenyataan itu ekoran kejadian kebakaran membabitkan pelbagai pusat pengajian itu di negeri ini, sejak beberapa tahun lalu yang antaranya disebabkan litar pintas.

Md Yuslan berkata, selain pendawaian, barangan elektrik yang mempunyai aspek pemanas seperti seterika dan cerek elektrik turut dikenal pasti antara punca menyebabkan litar pintas.

Katanya, ia berlaku kerana barangan elektrik itu menggunakan beban tenaga yang tinggi dan jika pendawaian kurang sempurna boleh memudahkan litar pintas berlaku.