Categories
KENYATAAN MEDIA

Iktibar pilihan raya UK: Fokus pada polisi, anak muda & sukarelawan

OLEH: SYED IBRAHIM SYED NOH

Saya mengikuti perkembangan semasa pilihan raya umum di United Kingdom (UK) baru-baru ini. Dengan berlakunya perubahan dari segi bilangan kerusi parlimen antara dua parti terbesar iaitu ‘Conservative’ dan ‘Labour’, keadaan ini memberi peluang untuk Pakatan Harapan (Harapan) melaksanakan analisis politik demi menambahbaik strategi pembangkang dalam memberi keputusan terbaik dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan datang.

Pertama, polisi dan manifesto memainkan peranan penting bagi setiap parti yang bertanding dalam pilihan raya. Idea-idea yang dilontarkan oleh Jeremy Corbyn iaitu pemimpin Labour mendapat perhatian masyarakat meskipun mendapat kritikan daripada media massa.

Sudah tiba masanya Harapan dan seluruh rakyat Malaysia menyokong politik yang berteraskan polisi dan menolak sebarang politik yang memainkan sentimen perkauman demi kepentingan peribadi seperti mana yang diamalkan oleh Umno selama ini. Kejadian tampar, tendang, ugut, ancam dan ganas berasaskan sentimen sempit kaum dan agama wajib ditolak.

Rakyat pada hari ini semakin bosan dengan politik perkauman dan pemikiran sempit, sebaliknya menuntut sebuah perubahan polisi yang mampu membina semula negara, melegakan kesempitan hidup dan mereformasi demokrasi negara.

Rakyat berminat dengan langkah-langkah yang benar-benar boleh menyara kehidupan mereka dan keluarga secara adil dan saksama.

04-01-tinjauan-harga-barang-shuaibDalam tinjauan umum saya baru-baru ini apabila terlibat dalam menghulurkan bantuan Ramadan kepada keluarga yang memerlukan, saya dapati sebahagian besar mereka redha dengan apa yang ada. Mereka sanggup berikhtiar dan berdikari.

Mereka terima dan bersyukur dengan bantuan kecil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Baitul Mal namun hakikatnya mereka tetap terperangkap dalam kitaran kemiskinan.

Mengapa ini berlaku dalam pada Kerajaan Pemerintah mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan cukai GST penyelamat negara dan rakyat?

Sebabnya ialah kerana Kerajaan Umno BN tidak meletakkan keutamaan dan keadilan kepada tempatnya. Polisi dan dasar Umno BN berasaskan polisi patronage atau payung.

Dengan memayungi rakyat melalui BR1M atau pemberian bersifat wang, maka mereka menganggap rakyat sokong dan semua masalah rakyat selesai.

Sambil itu polisi pembayaran komisyen atas angin, politik wang dan gejala rasuah terus berleluasa, justeru mengurangkan tampung pendapatan negara. Ini mengakibatkan peningkatan hutang dan pemotongan pelbagai subsidi. Pada masa yang sama, harga barang terus naik.

Tambah buruk, dengan GST menyebabkan negara mencatat kadar inflasi tertinggi sejak 40 tahun lalu. Paling malang bagi rakyat ialah beban ekonomi dan kos sara hidup tidak diiringi dengan kadar kenaikan gaji yang wajar.

Harapan komited untuk lebih memberi tumpuan kepada mencari penyelesaian kepada punca masalah ini.

Harga PETROLMenurut Rafizi Ramli, Naib Presiden KEADILAN, melalui buku Panduan Bina Semula Negara hasil terbitan Invoke Centre for Policy Initiatives (I-CPI), punca masalah-masalah ekonomi seharian rakyat ialah dasar-dasar yang secara sengaja atau tidak sengaja menyebabkan kos sara hidup terus naik dengan lebih cepat berbanding gaji.

Katanya, persoalan besar ekonomi rakyat ialah persoalan gaji dan kos. Pendekatan mencari gabungan dasar-dasar dan penambahbaikan amalan Kerajaan Persekutuan yang berupaya mengimbangi keperluan mendesak menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan gaji/pendapatan rakyat dilihat sebagai penyelesaian dan tawaran terbaik.

Dalam pada itu, Harapan juga komited dalam menentang gejala rasuah dan tatakelola buruk yang diamalkan oleh Umno BN. Kerugian daripada gejala ini juga antara punca kekurangan pendapatan.

Laporan-laporan antarabangsa seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaharu Felda Global Ventures (FGV) perlu diketengahkan dan diterangkan kepada kesemua rakyat Malaysia.

Ia terkait dengan rakyat kerana dasar ekonomi Kerajaan Umno BN yang pincang berkait 1MDB dan Felda bukan sahaja memburukkan imej negara tetapi juga membawa negara dan rakyat kepada gaung kemusnahan. Pembanterasan rasuah, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa amat wajar dijadikan tawaran penyelesaian.

putrajayaDalam pada merangka strategi dalaman Harapan, sudah tiba masanya untuk Harapan menumpu kepada penerangan dan penyelesaian yang boleh membawa perubahan kepada negara.

Kedua, penglibatan lebih 66 peratus pengundi muda UK pada pengundian kali ini telah memberi impak yang besar terhadap keputusan pilihan raya.

Pengundi muda lebih cenderung untuk melaksanakan perubahan kerana mereka menghadapi pelbagai kesukaran yang melibatkan polisi ciptaan kerajaan, antaranya ialah polisi pekerjaan, pencukaian dan pendidikan tinggi. Peluang kerja dan gaji yang lebih adil untuk semua perlu dirangka.

Atas rasional ini, Harapan komited memanggil 3.8 juta rakyat Malaysia untuk berdaftar mengundi dan berani melaksanakan perubahan.

Setiap undi daripada rakyat Malaysia cukup bermakna dalam menjatuhkan korupsi dan budaya teruk yang diamalkan oleh Kerajaan Umno BN selama ini.
Peningkatan peratusan keluar mengundi mampu menghasilkan keputusan dan nasib rakyat yang berbeza.

Ketiga, pergerakan sukarelawan diperlukan dalam memenangi pilihan raya. Penglibatan rakyat secara terbuka dalam kempen politik perlu dilihat sebagai tindakan penting yang memberi kesan yang besar dalam pengaruh politik.

Hanya dengan cara begini parti politik dapat menyebarkan maklumat kepada orang ramai meskipun mendapat tekanan daripada media massa yang dikuasai oleh golongan tertentu.

Di Malaysia, sistem pilihan raya yang kotor, ketidakadilan media utama dan penggunaan jentera kerajaan dalam kempen politik menghalang usaha Harapan untuk membawa perubahan.

Hanya dengan penglibatan rakyat secara sukarela yang mampu mengatasi taktik kotor yang dirancang oleh Umno BN selama ini untuk kekal berkuasa.

Sehubungan dengan itu, Harapan menawarkan platform kepada orang ramai untuk mengembleng tenaga dalam menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional serta menubuhkan sebuah kerajaan yang progresif dalam membawa perubahan ke arah negara yang lebih baik.

Ayuh sertai kami dengan mendaftarkan diri sebagai ahli dalam mana-mana komponen Pakatan Harapan: Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (AMANAH) atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Penyertaan sebagai sukarelawan INVOKE Malaysia juga dialu-alukan dalam memastikan pilihan raya kali ini lebih kompetitif dan memberi kemenangan yang berpihak kepada rakyat. Jadikan pilhan raya UK sebagai iktibar untuk kemenangan bagi rakyat.

 

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat