Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor beri sumbangan Aidilfitri, rasmi masjid di Banting

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 12 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM214,000 kepada 428 asnaf di Masjid Kampung Sungai Lang Baru, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, ia diagihkan kepada 294 fakir dan miskin juga 134 mualaf dengan setiap seorang menerima RM500.

Dalam majlis berbuka puasa dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Selangor itu, baginda turut berkenan menyempurnakan perasmian masjid kampung berkenaan.

“Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, beta dengan sukacitanya merasmikan masjid ini dengan nama Masjid Kampung Sungai Lang Baru,” titah baginda.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Majlis juga disertai Pengerusi Majis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim; Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Mohamed Al Haj Tengku Harun serta hadirin lain.

Pembinaan Masjid Kampung Sungai Lang Baru bermula pada 1976 dengan peruntukan RM50,000 dan disiapkan pada 1978 serta mampu memuatkan 500 jemaah, pada satu-satu masa.

Pada 1996, projek pembesaran masjid diteruskan dengan kos RM78,000 diikuti beberapa fasa pada 2000 dan 2005 menggunakan peruntukan kerajaan juga sumbangan dermawan.

Terbaru, projek pembesaran ruang solat masjid dibuat pada Mac lalu berikutan pertambahan bilangan ahli jemaah susulan wujud banyak projek perumahan di sekitar kawasan masjid.

IMG_6895 IMG_6905