Categories
SELANGOR

Jalan sehala surai kesesakan di Pandan Jaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa mengkaji cadangan penduduk supaya menjadikan beberapa jalan raya di Pandan Jaya sebagai sehala.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, jalan raya dimaksudkan adalah Persiaran Pandan 7, Persiaran Pandan 8 dan Persiaran Pandan 9 yang terletak berdekatan Pangsapuri Blok M14, M15 serta M7.

Katanya, kekurangan parkir yang menyebabkan penduduk terpaksa meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan turut menyumbang kepada kesesakan terbabit.

“Akibatnya jalan berkenaan menjadi jalan satu lorong dan apabila berlaku pertembungan, salah satu kereta terpaksa mengalah serta mengundur.

“Sistem jalan sehala dilihat mampu menyuraikan kesesakan lalu lintas di sana,” katanya dalam kenyataan.

2017-06-05-PHOTO-00000037Pada masa sama, Iskandar yang juga Ahli Dewan Negeri Chempaka berkata, tidak praktikal untuk MPAJ mengenakan saman setiap hari terhadap penduduk yang meletakkan kenderaan di bahu jalan.

Katanya, walaupun tindakan penduduk boleh mengundang saman, namun ketika ini diakui tempat meletak kenderaan tidak mencukupi.

“Satu penyelesaian jangka panjang perlu dicari tetapi buat masa ini cadangan jalan sehala adalah salah satu penyelesaian.

“Saya akan meminta MPAJ melakukan kajian lanjut berhubung perkara ini,” katanya.