Categories
SELANGOR

Jangan berpolitik di masjid

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JUN: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya masjid tidak lagi dijadikan tempat berpolitik sama ada oleh orang Islam mahupun bukan Islam.

Baginda bertitah, larangan itu bagi mengelakkan ia menjadi punca kepada perpecahan umat Islam di negeri itu, selain meminta nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid peka terhadap perkara terbabit.

“Nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang mahu berpolitik digesa menyerahkan tanggungjawab kepada orang lain.

“Beta mahu masjid dan surau digunakan sebagai tempat beribadat dan menuntut ilmu agama serta dijadikan tempat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam supaya tidak berpecah-belah dan berpuak-puak.

“Beta tidak teragak-agak menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menamatkan perkhidmatan nazir, imam dan ahli jawatankuasa masjid yang melanggar serta tidak mematuhi peraturan ditetapkan,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan ahli jawatankuasa masjid menjaga kebersihan rumah ibadat dan mengingatkan umat Islam berhati-hati terhadap golongan yang menyebarkan ajaran sesat serta berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah.