Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

JMB dan penduduk perlu peka elak penyelewengan

OLEH AFIX REDZUAN

PANDAN INDAH, 16 JUN: Badan pengurusan bersama pangsapuri (JMB) serta penduduk setempat diingatkan supaya membuat semakan dokumentasi dan akaun secara teliti bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, kecuaian semua pihak boleh membuka peluang kepada penyelewengan individu tidak bertanggungjawab hingga mengakibatkan JMB mengalami kerugian selain wang penduduk dilarikan.

“Saya berharap pihak JMB membuat semakan daripada segi perjalanan pengurusan pangsapuri. Badan pengurusan komuniti (JMC) dan penduduk juga kena lebih prihatin serta sentiasa semak. Jangan sampai duit sudah hilang atau berlaku penyelewengan baru nak sedar.

“Semak akaun, semak dengan bank dan semua surat menyurat. Pihak Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Amapang Jaya (MPAJ) boleh membantu jika tidak mempunyai kepakaran,” katanya.

WhatsApp Image 2017-06-16 at 12.23.33Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan latihan untuk JMB yang kurang mahir mengendalikan urusan pentadbiran melalui program Format Kurikulum Perumahan Berstarata (FOKUS).

Beliau sebelum itu ditemui di Balai Polis Pandan Indah bersama JMB dan wakil penduduk Pangsapuri Taman Lembah Maju, Ampang yang mengalami kerugian berjumlah RM890,000 selepas wang mereka didakwa dilarikan pengurus bangunan.

Lebih mencurigakan, pengurus itu turut memberikan salinan penyata bank dan penyata cek palsu tanpa disedari ahli jawatankuasa JMB lain sedangkan wang yang dibayar penduduk tidak dimasukkan ke dalam akaun.

Pengerusi JMB, Cheng Ming Kheong berkata, pihak polis memaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Sebelum ini, JMB sudah membuat dua laporan polis di Balai Polis Pandan Indah pada 21 Mei dan 1 Jun lalu, namun pada 14 Jun pegawai pengendali kes itu memaklumkan ia masih dalam siasatan polis.