Categories
SASTERA

Kabel

Oleh Arafat Hambali

ENTAH, kaki terasa berat sekali langkahannya. Telapaknya seolah-olah membenci aspal. Ya, kebencian yang penuh amarah tanpa belas. Seperti kebencianku terhadap El Mars tapi beza antara kedua-dua hal itu sangat jauh jurangnya; mahu atau tidak, telapak kaki dan aspal berlubang ini harus bersapa biarpun mereka enggan memberi rasa yang tulus.

Langkahanku semakin lemah,  sesekali terhenti. Jalan raya ini setidak-tidaknya kali terakhir dibaiki mungkin satu dua musim pilihan raya lalu kerana lubang-lubangnya ada di serata tempat hingga ada yang menakung air; tambahan pula jadi laluan lori-lori besar sekaligus menambahkan lagi derita jalan beraspal itu.

Di langit cerah tanpa perlu kudongak, bahangnya terik benar. Cahayanya dengan kejam memanah tepat ke bebola mataku walaupun aku mengenakan sepasang cermin mata hitam tapi ternyata cermin mata murah yang kubeli di pasar raya itu gagal membantu.

Di bibir jalan yang penuh sisa-sisa puntung kretek bertaburan sana sini, ada yang masih berasap dan ada yang penyek digilis tayar, kulihat seorang lelaki dalam usia pertengahan dua puluhan sedang menjual air. Segera tekakku memberontak ingin dibasihi. Ya, barangkali terik matahari membuatkan tekakku menderita. Tetapi tanganku enggan menyelinap ke poket untuk mencapai dompet. Mungkin memahami dalam dompet hanya tinggal sisa-sisa syiling tambang pulang.

Dalam kesal, aku perlahan mengusap dada dan mengurut perlahan tekakku, memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaannya. Rasa bersalahku seperti sedang menahan kepala di bawah wayar letrik dan menunggu dilepaskan tahi sekawan burung gagak sebagai hukuman.

Kucuba melangkah cepat. Pondok bas kira-kira 100 meter dari  lelaki si penjual air semakin kuhampiri. Keringat resahku mengalir cepat di serata pipi; meleleh hingga ke janggut.

“Zaman ini jika tidak punya sesiapa, kita tidak akan dapat apa-apa; sekeping tiket bas lagi berharga daripada sekeping ijazah ini!” bentakku sendirian dengan riak kecewa.

INFO HADIAH SASTERATeringat beberapa peristiwa sebelum ini; ketika menunggu ditemu duga, seorang pemuda tiba-tiba disapa oleh pegawai penemu duga. Kelihatan mereka agak mesra sambil ketawa terkekek-kekek. Manakala di sebuah tempat lain, terdengar perbualan beberapa staff pejabat sesama mereka, “Bos mahu ambil berapa orang? Bukan sudah ada calonnya?”
“Dengar-dengar sudah ada. Anak saudara Puan Khalsom seorang, sepupu Rizal pegawai N42 seorang dan seorang lagi kalau tak salah… anak Pak Cik Man, pemandu bos.”

Dan yang terakhir ketika ditemu duga di sebuah syarikat penyeliaan hospital, dengan tali leher dan kemeja kemas bersama kasut berkilat; ketika aku sedang menunggu dipanggil, datang dua pemuda dengan tujuan sama tetapi berbeza penampilan. Mereka kelihatan agak sedikit kasual dan muka tersenyum sejak mula. Tidak seperti aku yang sedikit cemas. Setelah itu, namaku dipanggil dan ditemu duga. Soalan terakhir mengenai kenalan. “Siapa yang kamu kenal di sini?”
“Tidak ada encik,” kataku, perlahan.

Tiga peristiwa kecil itu yang mulanya kurang kupeduli dahulu.

“Kertas adalah kertas, ijazah hanyalah angan-angan dan ia adalah sebuah objek masa depan yang penuh kejam!” keluhku sendirian.

Hari ini, entah kali keberapa aku ke sana ke mari dengan sebuah fail yang penuh tentang kepedulian dan harapan kecil. Ya,  harapan. Harapanku yang lebih besar adalah dua sosok yang menanti di muka pintu rumah mengharapkan khabar gembira.

Di bawah matahari penuh memancarkan cahayanya, ditambah pula hanya beberapa jarak sahaja lagi untuk sampai ke pondok bas, air di dalam balang yang dijual pemuda itu semakin menduga tekakku.

Perasaanku sedikit lega, setelah penat berjalan dari satu lorong ke lorong, dari satu pejabat ke pejabat dan menghadap pelbagai kerenah orang, aku melabuhkan punggungku di bangku pondok bas. Kubuka sedikit butang baju dan mengibas dengan fail sambil memerhati tulisan yang diconteng pada tiang pondok bas. “Antara tuhan dan nasib, kita adalah mangsa.” Termenung aku  melihat kata-kata tersebut. Apakah tuhan yang bersalah atau nasib yang bersalah? Dan yang selalu menjadi mangsa keadaan adalah manusia? Apakah aku sebahagiannya? Dan setiap tindakan yang aku buat, kenapa selalu diduga dengan hal-hal yang sering kali tak mampu kutempuhi? Bukankah di sekolah guru pernah berkata, Tuhan tidak akan meletakkan sesuatu ujian yang tidak mampu dipikul hamba-Nya? Tapi kenapa sekarang untuk segelas airpun aku tidak mampu mendapatkannya? Lalu, dugaan bagaimana lagi yang harus aku hadapi?

“Bang, mari la sini dulu! Basahkan tekak.” Suara kecil yang sedikit kasar menyapaku tiba-tiba.

Kutoleh ke tepi dan lelaki si penjual air tadi tersenyum dan melambai tangan kepadaku; aku membalas senyuman dan anggukan sebagai tanda balas. Kesalku semakin bertambah  mengenangkan ketul-ketul syiling di dalam poket seluarku.

“Tak mengapa bang, saya mahu rehat sekejap saja.” Aku membalas dan memberi sebuah lagi senyuman dari jauh.

“Marilah, saya belanja! Panas terik, awak mesti dahaga.”

Saat ini, aku tidak pasti kepada siapa aku mahu berterima kasih, adakah tuhan ataupun lelaki tersebut? Perlahan aku bangun lalu melangkah.

“Duduklah bang, mahu minum apa? Saya belanja, ada kelapa, tebu, cincau dan jagung…” Tuturnya teratur dan air di dalam balang tampak enak semuanya.

“Aduh, malu saya bang, untuk tekak sendiri pun tak mampu…”

Hadiah-sasteraHadiah“Tak mengapa, hidupkan untuk berkongsi rasa. Hari ini saya kongsi rasa dengan saudara; besoknya mungkin saudara  berkongsi dengan orang lain pula…”

Tangannya mencedok air kelapa.

“Harapnya begitulah.” balasku ringkas.

“Air kelapa? Boleh?”

“Wah, terima kasih. Inipun sudah lebih dari enak. Panas-panas terik dan segelas air kelapa sejuk. Nikmat bang!”

Jalan raya masih sibuk, asap kenderaan berawan-awan ke udara. Bunyi hon sambung menyambung adalah tanda manusia itu selalu pentingkan dirinya sendiri.

“Siapa nama abang?”

“Po A” kujawab ringkas.

“Cari kerja?”

“Ya”

“Kerja apa?”

“Apa-apa saja.”

“Bagaimana hasilnya?”

“Gagal.”

“Gagal?”

“Ya”

“Zaman sekarang bang, orang tak pandang kelayakan kita. Tak cukup semua itu. Abang kena ada sokongan.”

“Sokongan?”

“Ya, kabel!”

“Kabel?”