Categories
NASIONAL

Kelemahan pengurusan, apa nasib 15,420 guru duka lara?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Pendidikan diminta membuat penstrukturan semula prosedur pertukaran guru supaya mekanisme lebih jelas dan telus boleh dilaksanakan, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, wujud keraguan dalam kalangan guru berhubung pelaksanaan mekanisme sedia ada yang disifatkan kelemahan di peringkat kementerian kini.

Katanya, kegagalan itu turut memberi kesan kepada permohonan pertukaran guru khususnya mereka yang berstatus ‘guru duka lara’.

“Kebelakangan ini timbul segelintir guru yang baru ditempatkan di sesebuah sekolah tidak sampai tiga bulan mendapat keizinan bertukar, kononnya guru berkenaan mempunyai kabel di kementerian.

“Adakah kementerian berusaha memenuhi permohonan guru untuk berkhidmat di negeri masing-masing atau mengikut pasangan supaya berada dekat dengan keluarga tercinta?

“Bagi saya, kementerian tidak mungkin meluluskan kesemua pertukaran itu dalam jangka masa pendek kerana permohonan di beberapa negeri setiap tahun akan melebihi kekosongan jawatan di negeri tertentu,” katanya dalam kenyataan.

NIK-NAZMiNik Nazmi berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mengumumkan 2,261 permohonan guru duka lara sudah diluluskan dari 6,636 permohonan bagi kategori itu.

Beliau berkata, kelulusan berkenaan adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan 1,421 guru ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah seluruh negara.

Pada masa sama, Nik Nazmi turut merujuk kelemahan aplikasi sistem pengurusan guru (EGtukar) yang digunakan guru bagi tujuan permohonan perpindahan.

“Berdasarkan sistem itu, keputusan kelulusan permohonan guru dibuat berdasarkan satu kekosongan bagi satu pilihan sahaja.

“Berbanding jumlah sebenar, jumlah permohonan sekitar 15,420 orang dan masih ramai guru yang menanti permohonan diluluskan kementerian.

“Namun, dalam menyelesaikan isu guru duka lara ini, apakah inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan?” soalnya.