Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persempadanan semula: MB hairan pendengaran kes awal sebulan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 JUN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluahkan rasa terkejut dan hairan apabila tarikh pendengaran saman kes Kerajaan Negeri terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu persempadanan semula diawalkan sebulan.

Katanya, tarikh baru itu didapati tidak sesuai dan sudah dibantah peguam mewakili Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya dimaklumkan kes itu ditetapkan berdasarkan arahan Ketua Hakim Negara.

“Kami terkejut dengan tindakan tergesa-gesa ini dengan tarikh 9 Jun ditetapkan pendaftar Mahkamah Rayuan untuk pendengaran kes tertangguh itu.

“Selaku pemohon, Kerajaan Negeri bertanggungjawab menuntut penjelasan berhubung tindakan secara tiba-tiba kerana isu ini turut membabitkan kepentingan umum iaitu hak mengundi yang dijamin Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, pada 9 Jun lalu.

Mohamed Azmin berkata, mahkamah mempercepatkan tarikh untuk pendengaran kes yang sepatutnya berlangsung pada 6 Julai ke 9 Jun lalu, tanpa sebab.

Azmin MB“Pendaftar juga ada memaklumkan yang kes itu sepatutnya didengar pada 20 Jun ini atas arahan Ketua Hakim Negara,” katanya.

Pada 19 Oktober 2016, Kerajaan Negeri diwakili Mohamed Azmin memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan negeri di Selangor oleh SPR.

Beliau turut memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam persempadanan semula itu tidak mengikut Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu tidak sah serta terbatal.